bisnes

Usahawan Risda tembusi pasaran eksport

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

USAHA Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerusi Program Pembangunan Usahawannya bukan sahaja dilihat berjaya melahirkan pengusaha dalam kalangan pekebun kecil, malah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bersedia menembusi pasaran eksport.

Terdapat lima program yang disediakan Risda untuk usahawan antaranya, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Pembangunan Produk, Premis dan Perniagaan, Pameran dan Promosi serta Jaringan Strategik.

Program yang merangkumi kepelbagaian bidang itu tidak hanya diberi kepada usahawan Risda bagi jangka pendek, bahkan sokongan berterusan bagi tempoh jangka panjang.

Pengasas CSM Dairy Industries Sdn Bhd, Ya'akop Mohd Isa antara usahawan yang menerima bimbingan dan bantuan Risda sejak memulakan perniagaan menjual kopinya pada 2005.

Beliau yang kini berjaya meraih jualan sebanyak RM12 juta tahun lalu tidak pernah melupakan jasa Risda yang sentiasa ada sepanjang usahanya mengembangkan perniagaan.

"Saya memulakan perniagaan dengan modal sendiri RM20,000, berikutan menerima permintaan menggalakkan saya meminta bantuan daripada Risda dari segi pembelian mesin, pembungkusan dan latihan (pembangunan produk).

"Semua bantuan yang sudah diterima bernilai lebih RM80,000 dan kini kami berjaya menaiktaraf kilang memproses kopi dan susu serta menawarkan pengeluaran produk tulen (OEM) kepada peniaga lain.

"Saya bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan serta bantuan Risda yang sentiasa ada untuk perniagaan kami, malah hasil bantuan itu lebih 70 peratus pengeluaran kilang dapat ditingkatkan dan memudahkan kerja kami," katanya.

Ya'akop berkata, kini pihaknya berjaya membina kilang baru dengan nilai pelaburan RM6 juta di Mantin, Negeri Sembilan dan dalam proses mendapatkan status Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) bagi membolehkan syarikat menembusi pasaran eksport.

Bagi pengeluar produk berasaskan madu, Rcab Food Ventures Sdn Bhd yang turut menerima bantuan dan bimbingan Risda juga sudah mengeksport produknya ke China, Amerika Syarikat dan Singapura.

Eksekutif Pemasarannya, Vanida Natasha Tan berkata, syarikat yang ditubuhkan oleh ibu bapanya 10 tahun lalu itu sudah menerima lebih 10 bantuan daripada Risda.

"Sebagai pekebun kecil dan peneroka, ibu bapa saya mendapat bantuan mengembangkan perniagaan terutama dari segi mesin pengeluaran, pembungkusan, peralatan dan latihan di mana setiap bantuan dianggarkan bernilai RM10,000.

"Jujurnya, dengan bantuan Risda ini kami berjaya mengembangkan perniagaan lebih 70 peratus dan sangat membantu dalam menambah kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan dalam dan luar negara.

"Kami juga sedang memohon bantuan daripada Risda untuk menambah mesin dan menaiktaraf kilang sedia ada membabitkan kos kira-kira RM100,000," katanya yang kini mempunyai 20 kakitangan bagi mengendalikan seluruh operasi.

Turut mengukir kejayaan daripada program AET Risda, Pengurus ZS Maju Products, Ahmad Asyraf berkata, perniagaan keropok dan kerepek keluaran syarikatnya itu sudah berada di pasaran sejak 20 tahun lalu.

Sebagai anak pekebun kecil, beliau meneruskan perniagaan keluarga dengan menyertai Risda Business Challenge (RBC) dan berjaya menerima skim bantuan bernilai RM50,000 berupa mesin pengeluaran.

"Sebelum RBC, memang kami mendapat bantuan daripada Risda melalui AET dengan nilai RM20,000 dan syukur kami berjaya dalam RBC dan hasilnya kami menambah mesin pemprosesan untuk mengeluarkan produk baru.

"Bantuan Risda ini memang kami guna untuk membeli mesin dan kini kami sudah mencapai pengeluaran antara 300 ke 400 kilogram produk sehari berbanding hanya 100 kilogram sebelum ini.

"Kami juga dalam proses membesarkan kilang serta mendapatkan HACCP dan GMP. Dengan bantuan Risda, kami menyasarkan menembusi pasaran luar negara dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya yang kini mempunyai lapan unit simpanan stok (SKU).

Turut berkongsi kisah kejayaan berkat bimbingan Risda, syarikat Pak Lah Marketing kini berjaya memiliki mesin pengeluaran dan kilang di Muar, Johor.

Pengurus Jualannya, Haziqah Abdullah berkata, syarikat itu mengeluarkan produk tepung goreng serbaguna di bawah jenama Pak Lah.

"Sebelum ini, bapa saya membuat sendiri tepung serbaguna dan dijual di pasar malam serta dengan bantuan Risda dari segi mesin pemprosesan dan pembungkusan, jenama Pak Lah berjaya dibangunkan setanding jenama terkemuka lain.

"Tepung goreng serbaguna boleh juga digunakan untuk menggoreng pelbagai jenis makanan serta dihasilkan dari campuran tiga jenis tepung, diadun dengan sembilan jenis rempah ratus terpilih termasuk resepi rahsia tersendiri.

"Kami ada menjual tepung dengan pilihan berat 150 gram, 300 gram, 1 kilogram dan paling mendapat permintaan adalah pembungkusan 100 gram untuk doorgift yang kami tawarkan pada harga ekonomi," katanya.

Sementara itu, keempat-empat pengusaha di bawah Risda ini boleh ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi 2022 bermula 7 hingga 10 September ini di Hall 2 (tapak pameran Kementerian Pembangunan Luar Bandar) tingkat 1, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Disiarkan pada: September 10, 2022 @ 7:10am
d