bisnes

Tiada keperluan tambat ringgit: Zafrul

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan ekonomi Malaysia kekal di landasan yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang semakin berkembang.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi ringgit berbanding dolar AS perlu dilihat secara menyeluruh, dan tidak hanya dibanding dengan dolar AS semata-mata.

Katanya, kekuatan mata wang juga bergantung kepada asas ekonomi yang kukuh, dan ia lebih penting bagi memastikan pengukuhan ringgit Malaysia.

"Pada asasnya, ekonomi negara semakin berkembang kukuh dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 5.0 peratus, dan suku kedua 2022 juga mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9 peratus, manakala suku ketiga ini kita jangkakan ia lebih kukuh.

"Justeru, kita tidak boleh terus menilai mata wang ringgit jatuh kerana sebenarnya ringgit juga meningkat berbanding dengan banyak nilai mata wang lain di dunia.

"Kita juga dapat melihat bukan sahaja nilai ringgit yang telah turun berbanding dolar AS, malah negara lain seperti mata wang Yen, Pound (Sterling), Euro, Yuan, Peso, Baht, Won juga menurun berbanding dolar AS.

"Tetapi jika kita bandingkan ringgit dengan sesetengah mata wang asing yang lain (Yen, Pound (Sterling), Euro, Yuan, Peso, Baht, Won), nilai ringgit lebih mengukuh berbanding semua mata wang asing ini.

"Paling penting sebagai negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara kalau dibandingkan dengan negara lain.

"Jadi janganlah kita tengok pada satu aspek saja dan lebih penting sekarang adalah kerajaan memperkukuh asas ekonomi dan kewangan negara kerana asas yang kukuh dapat membantu mengukuhkan ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan khas di Persidangan Perbankan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Zafrul berkata, kerajaan tidak boleh menentukan bank untuk memberi moratorium.

Sebaliknya, kerajaan akan terus menggalakkan polisi yang menyokong dasar kepentingan rakyat, yang mana banyak inisiatif sudah dilaksanakan kerajaan dalam membantu pemulihan PKS seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Beliau berkata, bank menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada PKS yang benar-benar memerlukannya, malah bank masih terbuka membantu mereka yang begitu memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan perniagaan.

"Apa yang penting, bank mesti terus menyokong PKS yang berdepan kesulitan. Moratorium pukal (blanket moratorium) tidak sesuai kerana dalam jangka panjang kita perlu menyokong syarikat yang boleh beroperasi," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2022 @ 1:25pm
d