bisnes

Aeon Big labur RM12 juta

AEON BiG (Malaysia) Sdn Bhd (Aeon BiG), bakal membuka empat lagi cawangan baharu menjelang tahun depan sebagai penambahan kepada 21 rangkaian sedia adanya.

Pengarah Urusan Aeon BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, pihaknya memperuntukkan pelaburan sekitar RM10 juta hingga RM12 juta bagi langkah pengembangan cawangan baharu itu dengan lokasinya disasarkan di luar Lembah Klang.

"Tahun ini, Aeon BiG juga memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) lebih RM20 juta bagi menambah baik dan memperbaharui 21 cawangan di seluruh negara.

"Bulan ini, kita sudah mengubah suai dan menambah baik 21 rangkaian Aeon BiG dan capex terbabit digunakan sepenuhnya untuk tujuan itu," katanya di majlis penyerahan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk bakeri La Boheme di Aeon Big Wangsa maju.

Selain Wangsa Maju, bakeri La Boheme di Aeon BiG Shah Alam dan Aeon BiG Jaya One, Petaling Jaya turut menerima pensijilan serupa.

Sheikh Farouk berkata, pihaknya menyasarkan bakeri La Boheme di kesemua 21 cawangannya akan menerima pensijilan halal Jakim menjelang akhir tahun ini.

"Sebelum ini, kami memiliki pelbagai jenama bakeri di cawangan Aeon BiG yang berlainan, namun baru-baru ini, kesemua jenama bakeri kami sudah disatukan di bawah jenama La Boheme, yang seterusnya membawa kepada proses pensijilan halal ini.

"Jenama makanan lain di bawah Aeon BiG juga sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jakim secara berperingkat.

"Melalui perancangan keseluruhan premis sedia ada untuk dimakan, Bakeri dan Delicatessen di Aeon BiG, kami jangkakan bakal mendapat pensijilan halal menjelang 2023," katanya.

La Boheme adalah produk bakeri Aeon yang boleh didapati di Aeon BiG dan juga di pasar raya Aeon yang lain.

Disiarkan pada: September 24, 2022 @ 7:00am
d