bisnes

Malaysia catat peningkatan ketara dalam penggunaan EV

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kenderaan elektrik (EV) muncul sebagai alternatif automotif berdaya maju utama ke arah mencapai cita-cita iklim dan memastikan planet yang boleh didiami, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Memandangkan perubahan iklim telah menjadi ancaman paling mendesak kepada manusia hari ini, sudah tiba masanya untuk mula memperjuangkan usaha rendah karbon dan cekap sumber yang berpaksikan prinsip kemampanan, katanya.

Ahmad Amzad berkata, bagi menggalakkan penggunaan EV, kerajaan memperkenalkan pengecualian penuh duti import, duti eksais dan cukai jalan untuk EV sama ada yang diimport atau yang dipasang dalam negara di bawah Bajet 2022.

"Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan bulanan kemudahan pengecasan EV," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Van penghantaran elektrik DHL Express Malaysia di sini, semalam.

Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam pengambilan EV, daripada hanya 388 kenderaan pada 2021 kepada 1,033 pada Julai 2022, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 2,000 kenderaan menjelang akhir tahun.

Sementara itu, beliau berkata, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan meneruskan agenda menjadikan Malaysia sebagai pencipta dan pengeluar komponen teknologi EV.

"Melalui NanoMalaysia, kami telah memulakan program, iaitu 'Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia' serta program 'Membolehkan Mobiliti Elektrifikasi untuk Ekonomi Hijau', memfokuskan kepada pengkomersialan penyelesaian tenaga hijau, teknologi penyimpanan tenaga dan komponen EV.

"Inisiatif utama termasuk memudahkan peraturan untuk penukaran kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV melalui platform Ekosistem Pengesahan Inovasi Kenderaan Elektrik Rapid (REVIVE), dan membangunkan teknologi dalaman untuk pengecasan berasaskan suria luar grid, bateri EV dan pengecasan nir wayar.

"Internet of Nano Things untuk sambungan digital untuk EV dan sistem kenderaan autonomi juga merupakan satu lagi teknologi berkaitan yang dibangunkan oleh NanoMalaysia," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2022 @ 6:10am
d