bisnes

Glomac optimis capai jualan RM160 juta

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Glomac Bhd optimis untuk mengatasi jualan tahun kewangan sebelum ini dengan mencapai RM160 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April 2023, didorong oleh pelancaran projek yang akan datang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Fateh Iskandar (FD Iskandar) Mohamed Mansor berkata, setakat ini kumpulan telah meraih jualan kira-kira RM125 juta untuk tahun kewangan 2023.

"Pada tahun (kewangan) lepas, kita kerugian sekitar lapan bulan kerana ordinan kecemasan serta pandemik. Pada tahun ini, kami berharap untuk melakukan yang lebih baik berbanding tahun lepas.

"Kebanyakan daripada pelancaran baharu ini akan dilaksanakan pada suku ketiga dan keempat tahun ini kerana kita ingin melihat sama ada situasi buruh semakin baik, serta sama ada harga bahan-bahan telah stabil," katanya dalam taklimat media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan di sini hari ini.

Beliau berkata Glomac berhasrat untuk meningkatkan aktiviti pembangunan menerusi pelancaran baharu bernilai RM469 juta bagi tahun kewangan semasa dengan menumpukan kepada permintaan pasaran.

"Walaupun dengan pembukaan semula ekonomi, membawa petanda baik kepada semua sektor termasuk pembangunan hartanah, kebimbangan asas mengenai kenaikan kadar faedah, inflasi dan bekalan yang terhad mungkin menjejaskan sektor hartanah.

"Prospek jangka panjang Glomac kekal teguh, disokong oleh lembaran imbangan yang baik dan projek pembangunan akan datang yang kukuh dan mempunyai potensi anggaran nilai pembangunan kasar RM8 bilion, dengan kedudukan yang strategik di Lembah Klang," katanya.

Sementara itu, pada AGM tersebut, FD Iskandar berkata pemegang saham Glomac telah meluluskan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 2022 berbanding 1.0 sen sesaham biasa sebelum ini, menjadikan hasil dividen semasa kira-kira 5.4 peratus.

Beliau berkata Glomac terus menikmati jualan yang kukuh dalam pembangunan perbandarannya dengan kebanyakan daripada fasa telah siap dan sedang dilaksanakan sudah dijual.

Katanya ini memperlihatkan kemampuan Glomac untuk menyesuaikan produk kediaman dengan permintaan pasaran yang teguh dalam segmen pasaran mampu milik dan pertengahan.

"Kumpulan akan berusaha membuat pembaharuan seterusnya bagi tawaran produk untuk menarik permintaan pembeli rumah yang sentiasa berubah dan memperkukuh momentum jualan," katanya.

Glomac mempunyai lembaran imbangan yang baik, sekali gus mencerminkan kejayaan kumpulan dalam menguruskan aktiviti perniagaan dan aliran tunai semasa pandemik Covid-19 mencapai puncaknya.

Sehingga akhir tahun kewangan 2022, tunai dan deposit tunai kumpulan berada pada RM215.4 juta dengan kedudukan hutang bersih yang baik pada 0.23 kali.

Aset bersih sesaham yang boleh diagih kepada pemilik syarikat berjumlah sehingga RM1.51.

Disiarkan pada: October 19, 2022 @ 5:56pm
d