bisnes

Giat sumbang peralihan tenaga

Kuala Lumpur: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) giat menyumbang kepada peralihan tenaga syarikat utiliti itu dengan Hotel Primula Beach (Primula), Kuala Terengganu menjadi pelanggan pertama dalam bidang perhotelan berhijrah kepada sistem solar.

GSPARX menyiapkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik di atas bumbung bangunan hotel berkenaan pada Jun lalu untuk menjana 315.5 kWp (kilowatt peak) kapasiti solar, sekali gus menyuntik elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada TNB dan negara.

Ketua Pegawai Pelanggan (SME & Residential) Bahagian Retail TNB, Abdul Rahim Abd Jamil berkata, pemasangan panel solar di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) selama 21 tahun itu membolehkan Primula menikmati anggaran penjimatan lebih RM1.49 juta sepanjang tempoh kontrak melalui penjanaan sejumlah 402,000 kWj kapasiti solar setahun.

"Inisiatif ini sejajar aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 apabila mampu mengelak pelepasan karbon dioksida (CO₂) dalam kuantum 285 tan metrik setahun, bersamaan dengan menanam 4,716 anak pokok selama 10 tahun atau pelepasan karbon daripada 62 kenderaan setahun di atas jalan raya.

"Penghijrahan Primula kepada Tenaga Boleh Baharu (RE) ini menepati agenda Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), yang menetapkan sasaran 31 peratus RE dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2035.

"Pelaksanaan SARE dengan Primula ini adalah perjanjian pertama GSPARX dengan industri perhotelan di negara ini. Model Zero Capex ini menjadikan GSPARX sebagai pemilik dan

pelabur dalam sistem solar yang dipasang manakala pelanggan kami dapat menikmati penjimatan elektrik secara langsung tanpa membuat pelaburan modal," katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, GSPARX telah berjaya memperolehi 267 projek dengan organisasi komersial, perindustrian dan kerajaan untuk menjana sejumlah 146 MWp kapasiti solar.

Antaranya Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Sime Darby Properties, Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Bandaraya Ipoh, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Disiarkan pada: October 28, 2022 @ 7:01am
d