bisnes

Perluas khidmat pembayaran di China

Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go melalui TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch 'n Go eWallet mengumumkan pengembangan keupayaan pembayaran rentas sempadannya ke China melalui kerjasamanya dengan Alipay+.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, pihaknya berbesar hati meneruskan perkongsian dengan Alipay+ mengenai penyelesaian pembayaran rentas sempadan dan mengembangkan wilayah perkhidmatan melangkaui Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

"Touch 'n Go eWallet ialah e-dompet Malaysia pertama boleh digunakan untuk pembayaran di China. Ini petanda baik untuk pengguna kami yang melancong ke sana kerana mereka menikmati kemudahan membuat pembayaran tanpa tunai dan dalam Ringgit Malaysia.

"Kami akan terus meningkatkan penerimaan kami ke lebih banyak pasaran pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan.

Sejak enam bulan lalu, Alipay+ mendapat tempat di pasaran termasuk Asia Tenggara, Korea Selatan dan Jepun, menghubungkan pedagang tempatan dan serantau dengan pelbagai kaedah pembayaran digital.

China menjadi destinasi terbaharu pengguna Touch 'n Go eWallet Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan pengalaman pembayaran yang lancar dan mudah untuk pelawat antarabangsa menjelang Sukan Asia Hangzhou.

Liputan pedagang global Alipay+ mengikut sektor termasuk lebih 1,000 platform dalam talian, lebih 10 lapangan terbang utama, lebih 90,000 kedai serbaneka, lebih 360,000 restoran, hampir 200,000 teksi dan jenama hotel utama, gedung serbaneka, kedai bebas cukai dan kemudahan pelancong di Asia dan Eropah.

Disiarkan pada: November 11, 2022 @ 8:41am
d