bisnes

Tangani isu pasaran tenaga kerja

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM99.7 bilion dalam Bajet 2023 yang meliputi ekosistem pasaran tenaga kerja secara menyeluruh, merangkumi penawaran tenaga kerja, pasaran kerja dan permintaan tenaga kerja, menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu pasaran tenaga kerja pada masa depan, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata bajet itu yang dibentangkan pada bulan lalu dijangka meningkatkan penawaran tenaga kerja melalui pemerkasaan kumpulan fokus seperti B40, M40, wanita dan belia dengan peruntukan sebanyak RM18.6 bilion.

"Selain itu, komponen permintaan tenaga kerja tertumpu kepada mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat melalui langkah langsung dan tidak langsung yang bernilai sekurang-kurangnya RM80.9 bilion.

"Akhir sekali, langkah-langkah pengukuhan pasaran pekerjaan melalui memberi insentif bagi pencarian kerja dan pemadanan untuk meningkatkan pekerjaan yang dijangka melibatkan kos kira-kira RM208 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Labour Market Outlook 2023 – Dovetailing post-pandemic recovering momentum with enhanced resilience and reforms, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) baru-baru ini.

Menurut kajian itu, kos sara hidup yang semakin meningkat mengekang pendapatan boleh guna isi rumah dan disebabkan dua pertiga daripada pendapatan isi rumah adalah daripada gaji yang dibayar, lonjakan kos sara hidup akan memperlahankan perbelanjaan penggunaan dan menjejaskan pertumbuhan dari aspek permintaan.

"Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk makanan dan minuman bukan alkohol telah meningkat secara mendadak sebanyak lebih 4.0 peratus sejak Mac 2022 berbanding kadar biasa.

"Walaupun kadar pengangguran merosot daripada 4.2 peratus pada Januari kepada 3.7 peratus pada Julai, terendah sejak Februari 2020, kadar itu masih tinggi daripada paras sebelum krisis (3.3 peratus pada 2019).

"Oleh itu, kenaikan harga makanan dan minuman sudah tentu akan memberi kesan kepada pendapatan isi rumah terutamanya bagi golongan B40 dan M40 rendah," katanya.

Mohd Yusof berkata tindakan dalam bentuk campur tangan yang kritikal adalah diperlukan untuk meningkatkan lagi impak daripada penawaran tenaga kerja.

Katanya ini melalui pendekatan pelbagai dimensi sebagai insentif untuk rakyat bekerja selain melaras semula kemahiran dan kecekapan pekerja bagi memenuhi keperluan industri yang menjadi teras untuk menyokong pengeluaran ekonomi.

"Pengangguran belia, kebolehpasaran siswazah, perlindungan pekerja dan pembangunan bakat atau tenaga kerja telah diketengahkan dalam Bajet 2023 dengan memanfaatkan teknologi tinggi dan pertumbuhan berasaskan digital yang dapat memperkukuh aspek meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan taraf hidup," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2022 @ 8:22am
d