bisnes

Marrybrown diiktiraf francais terbaik [METROTV]

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Marrybrown Sdn Bhd (Marrybrown) malam ini dinobat sebagai penerima Anugerah Francais Terbaik 2022.

Marrybrown turut merangkul Anugerah Francaisor Terbaik bersama dua jenama lain iaitu Cambridge English For Life Sdn Bhd dan Ayam Penyet Bagus Sdn Bhd.

Marrybrown, ditubuhkan pada 1981 dan kini memiliki lebih 500 cawangan seluruh Malaysia dan di 16 negara antaranya Sweden, Maldives, China serta Myanmar.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd Yusof yang menyerahkan trofi serta sijil penghargaan kepada kesemua 27 pemenang dalam 22 kategori yang disenaraikan.

Anugerah Francais Malaysia (AFM) 2022 anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) merupakan platform pengiktirafan tertinggi kepada penggiat francais di negara ini dengan penilaian dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria penting antaranya sistem francais, jumlah pertumbuhan francaisi dan nilai jualan tahunan.

AFM 2022 turut menampilkan tiga kategori baharu iaitu Anugerah Francais Wanita Terbaik yang diterima oleh Zaliza Alias daripada Genius Aulad, Anugerah ESG Terbaik Ekosistem Francais (Tadbir Urus) dimenangi oleh Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd (Old Town White Coffee) manakala Anugerah Francaisor Mikro dan Mampu Milik Terbaik dirangkul oleh QC Group Sdn Bhd.

Terdahulu, Azman dalam ucapannya berkata penerima AFM 2022 boleh dijadikan sebagai kajian kes di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Beliau berkata ramai penuntut IPT cuba berjinak-jinak dalam dunia perniagaan namun tidak tahu cara memulakan langkah untuk menceburi bidang francais.

Berikutan itu, Azman berkata lebih banyak program dan sesi libat urus akan dilaksanakan dengan pihak universiti bagi mendedahkan penuntut IPT dengan industri francais.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan sentiasa berusaha meletakkan industri francais sebagai sektor utama yang memberi impak tinggi bukan sahaja dari segi pembangunan keusahawanan malah menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Kerajaan juga ingin memastikan industri francais ini akan menjadi antara sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia," katanya.

Turut hadir Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 11:46pm
d