bisnes

Touch 'n Go diiktiraf majikan pilihan graduan

Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go menerima penghormatan tertinggi sebagai Majikan Pilihan Siswazah dalam kategori Fintech di Anugerah Pilihan Graduan 2023.

Selain itu, syarikat itu juga diiktiraf sebagai salah satu daripada 25 majikan pilihan siswazah secara keseluruhan.

Anugerah Pilihan Graduan ialah jenama anugerah paling berwibawa di Malaysia kerana keputusan ditentukan semata-mata melalui undian daripada pelajar universiti Malaysia.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Touch 'n Go Sdn Bhd, Erlny Greiss berkata, anugerah berkenaan adalah antara pengiktirafan dalam amalan pengurusan bakat dan sumber.

"Kedua-dua anugerah ini adalah bukti bahawa graduan masa kini percaya kepada Touch 'n Go sebagai majikan yang bereputasi dalam industri fintech dan melihat nilai transformasi kami sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami berusaha untuk membina jenama majikan yang menarik disokong oleh kepimpinan yang berkesan, pembabitan tinggi daripada pekerja dan budaya berprestasi tinggi.

"Sebagai sebahagian daripada seluruh transformasi syarikat, kami telah memberikan penekanan yang amat besar terhadap kesejahteraan dan pembangunan kerjaya pekerja serta memupuk budaya tempat kerja yang bertenaga dan inklusif," katanya dalam kenyataan.

Anugerah berkenaan dianjurkan oleh Talentbank dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti di seluruh negara.

Disiarkan pada: January 12, 2023 @ 4:48pm
d