bisnes

Kad tanpa nombor

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go (TNG) menerusi Touch 'n Go eWallet menjalin kerjasama strategik dengan Visa, yang membolehskan pengguna eWallet mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM).

Selain itu, ia juga membolehkan pemegang kad membuat pembayaran walaupun di premis yang tidak mempunyai kod QR Duitnow.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, ia adalah kad tanpa nombor pertama di Malaysia dan memberi lebih privasi dengan kawalan keselamatan yang dipertingkatkan.

"Reka bentuk kad itu menggabungkan karya seni, Damien Wong iaitu pemuda autisme dan artis bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), United Voice.

"Hasil kerjasama dengan Visa, kami menggabungkan inovasi dan teknologi canggih untuk keselamatan kad ini.

"Menerusi semua ciri yang digabungkan dalam kad itu, Touch 'n Go eWallet menawarkan semua perkhidmatan yang setara dengan bank alternatif kepada semua pengguna eWallet.

"Kad itu membolehkan pengguna mengeluarkan wang tunai di ATM dan melakukan pembayaran dalam talian dan luar talian di peringkat antarabangsa.

"Ada limit transaksi, namun pengguna boleh menetapkan pembayaran yang fleksibel melalui aplikasi Touch 'n Go eWallet," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad visa Touch 'n Go dan taklimat bersama media di sini, semalam.

Menurut Alan, buat masa ini, kad itu belum boleh digunakan untuk laluan SmartTAG di mana-mana plaza tol.

Bagaimanapun, Alan memaklumkan pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menambah baik ciri dan perkhidmatan yang boleh memberi manfaat kepada pengguna.

"Kad itu mengambil masa lama untuk dikeluarkan kerana prosesnya tidak membabitkan dua syarikat saja malah perlu menitikberatkan banyak aspek termasuk reka bentuk dan teknologi.

"Bagaimanapun, maklum balas diterima di luar jangkaan jadi saya percaya kad itu berpotensi menjadi salah satu kad prabayar terbesar.

"Kami menjangkakan permintaan kukuh untuk kad itu kerana ia akan meluaskan pembayaran pelanggan eWallet kami di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pihaknya amat teruja untuk bekerjasama dengan Touch 'n Go eWallet untuk melancarkan kad prabayar di negara ini.

"Produk prabayar yang terikat dengan Touch 'n Go eWallet akan membolehkan pemegang kad membayar di rangkaian luas Visa yang terdiri daripada lebih 80 juta perniagaan di seluruh dunia.

"Kami juga berbesar hati kerana pemegang kad yang memohon produk ini dapat beramal dengan menyumbang kepada inisiatif peningkatan kemahiran United Voice di samping mendapat manfaat daripada membuat pembayaran kad yang lancar dan mudah," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 7:00am
d