bisnes

Momentum positif

Oleh Bisnes HM

SELEPAS tiga tahun terbabit dalam urus niaga logam berharga, KAB Goldynamics Sdn Bhd (KAB Gold) kini mula mengintai pasaran di Asia Tenggara.

Dengan pertambahan ketara pelanggan tempatan dalam tempoh singkat, KAB Gold nyata membuka mata peminat dan pemain industri emas serantau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri berkata, pihaknya yakin momentum syarikat adalah lebih baik menjelang 2023.

"KAB Gold akan memiliki rangkaiannya di Lunas, Kedah, dalam tempoh terdekat dan rangkaian kami juga kini mula melebar hingga ke Brunei dan Singapura.

"Wakil jualan kami semakin berkembang dan syarikat kini sedang merangka beberapa strategi untuk menggalakkan penjualan dan memudahkan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Konferensi Wakil Jualan KAB Gold Malaysia Kali Pertama di Kuala Lumpur Traders Square, Gombak dekat sini, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah.

Pada majlis itu, Ahmad Sufian yang juga Penasihat Syariah KAB Gold memberi penjelasan lengkap berhubung kepatuhan urus niaga emas menurut Islam.

Dalam majlis sama, Khairul Anuar berkata, KAB Gold juga merancang membuka cawangan mini untuk memudahkan pelanggan membuat tuntutan terutama di kawasan sempadan seperti Johor dan Sabah, yang masing-masing berjiran dengan Singapura dan Brunei.

Selain itu katanya, pihaknya juga menyediakan insentif kepada semua wakil jualan dan bakal memperkenal pakej lawatan serta umrah kepada mereka yang layak.

"Tahun ini, kami sudah membawa tiga wakil jualan menaiki kapal persiaran mewah sebagai penghargaan syarikat," katanya.

Katanya, KAB Gold sentiasa komited melahirkan lebih ramai wakil jualan berilmu dengan memperkenalkan pelbagai program kepada mereka.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 6:15am
d