bisnes

LTSAAS bakal dijadikan hab penerbangan serantau [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Subang: Kerajaan meluluskan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang bakal menyaksikan transformasi strategik dan menyeluruh untuk menjadi sebuah hab penerbangan serantau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan pembangunan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (Malaysia Airports) itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 2 Februari lalu.

Menurutnya, cadangan itu mendapat kelulusan selepas mengambil kira pertimbangan yang teliti berasaskan hala tuju dasar kerajaan.

"Pembangunan LTSAAS akan memberi fokus terhadap pembangunan ekosistem aeroangkasa, penerbangan am/perniagaan (GA/BA) dan lapangan terbang bandar dengan memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet.

"Ekosistem yang akan dibangunkan membabitkan tujuh komponen iaitu pusat industri aeroangkasa, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, pusat penyelidikan pembangunan, operasi penerbangan am, operasi penerbangan bisnes, urban air mobility (UAM) serta operasi penerbangan komersial serantau," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Anthony berkata, pertumbuhan dan perubahan wajah LTSAAS turut dijangka menjana peluang pekerjaan baharu selain mensasarkan kapasiti lapan juta penumpang setahun.

Beliau berkata, sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang bisnes ataupun kelas premium dengan memanfaatkan kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah ibu kota.

"Penerbangan berjadual menggunakan pesawat propeller dan turboprop akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan itu dijangka berterusan serta positif.

"Dari segi ekonomi, ia akan mempercepatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan menarik pelaburan dalam dan luar negara," katanya.

Ditanya mengenai kos dan tempoh SARP bakal dilaksanakan, katanya, kerajaan memberi tempoh selama dua bulan kepada MAHB untuk menyiapkan perancangan penuh pelan itu termasuk kosnya sebelum ia dapat dibentangkan kepada Kabinet.

Sementara itu, Iskandar berkata, satu sesi libat urus akan diadakan bersama pihak berkaitan bagi meneliti dan memperincikan perancangan pembangunan LTSAAS.

Disiarkan pada: February 6, 2023 @ 12:12pm
d