bisnes

Pelabur tetapkan matlamat kewangan baharu

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Satu tinjauan mendapati bahawa 80 peratus pelabur tempatan telah menetapkan matlamat kewangan baharu khususnya untuk bersara, susulan dengan peningkatan kos ketika ini serta persediaan bagi percutian dan gaya hidup.

Menurut Wealth Expectancy Report 2022 (Laporan Jangkaan Kekayaan 2022) oleh Standard Chartered, pelabur Malaysia menyatakan bahawa inflasi (40 peratus), ekonomi global yang tidak menentu (28 peratus) dan ancaman kemelesetan (23 peratus) sebagai kebimbangan utama mereka.

Inflasi yang meningkat (34 peratus), ekonomi global yang tidak menentu (27 peratus) dan kemelesetan (22 peratus) juga merupakan kebimbangan utama bagi pelabur di peringkat antarabangsa, katanya.

''Untuk mengatasi inflasi, 61 peratus pelabur di peringkat global sedang mencari untuk mengurangkan pegangan tunai mereka berbanding 53 peratus di Malaysia.

"Standard Chartered menjangkakan bahawa peruntukan tunai global akan jatuh daripada 26 peratus pada 2022 kepada 15 peratus pada 2023 berdasarkan kepada maklum balas pelabur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan itu mengkaji peralihan dalam keputusan pelabur untuk lebih 15,000 pelabur baru di 14 pasaran – termasuk Malaysia bersama-sama dengan pergerakan yang terhasil dalam kelas aset utama.

Ketua Perbankan Pengguna, Swasta dan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Sammeer Sharma berkata pelabur Malaysia dapat menerima beberapa jenis aset pelaburan baharu dengan sebilangan besar daripada mereka kini memegang aset digital.

Beliau berkata walaupun lebih ramai pelabur mengambil tanggungjawab dalam menguruskan kekayaan mereka, nasihat profesional terus menjadi perkara penting dalam memastikan keputusan mereka seiring dengan objektif mereka.

"Kami percaya bahawa dengan strategi penjanaan pendapatan berbilang aset, digabungkan dengan nasihat yang diperibadikan akan menyediakan beberapa peluang terbaik hari ini.

"Di sinilah pendekatan kami mempunyai kelebihan dalam menawarkan pelabur satu set penyelesaian dan strategi yang disusun dengan teliti untuk memenuhi matlamat jangka panjang mereka," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 3:10pm
d