bisnes

DXN tembusi pasaran 180 negara 

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Cyberjaya: DXN Holdings Berhad (DXN), syarikat produk makanan kesihatan tambahan tempatan yang bermula di Kuala Nerang, Kedah kini berjaya melebarkan sayapnya ke 180 negara dengan 14 juta pengedar seluruh dunia.

Pengasasnya, Datuk Lim Siow Jin berkata, DXN kini memiliki lebih 200 jenis produk yang menggunakan bahan asas utamanya, cendawan ganoderma atau Lingzhi.

Katanya, DXN turut memberikan peluang pekerjaan kepada 2,333 pekerja tempatan tidak termasuk luar negara terutama di kilang pemprosesan, pejabat pengurusan dan pusat jualan DXN di Kedah, sejak 1993.

"Syarikat memiliki 14 juta ahli di seluruh dunia yang mana lebih daripada tiga juta ahli aktif berniaga dan saya mahu menjadikan produk keluaran DXN sesuatu yang memberikan manfaat kepada pengguna di seluruh dunia.

"Selain Malaysia, pasaran paling besar DXN adalah dari Timur Tengah, Mexico, Peru dan Bolivia dan produk paling laris adalah kopi yang mana kita mempunyai 13 jenis minuman kopi dengan bahan utamanya ganoderma.

"Kami turut mempunyai pusat kajian dan pembangunan (R&D) sendiri dan terbaru DXN menghasilkan produk kecantikan dan penjagaan produk kesihatan lain, juga daripada ganoderma," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membangunkan perniagaan ini secara organik yang mana DXN memiliki perbezaan dan keunikan tersendiri berbanding pesaing lain, malah berjaya mengekalkan pertumbuhan pendapatan antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun.

"Sepanjang 30 tahun lalu, kami sudah melalui tiga krisis ekonomi yang besar namun dengan mengetengahkan konsep perniagaan yang mudah, syarikat kini berjaya mengorak langkah menembusi pasaran dunia.

"Kita perlu memiliki identiti tersendiri. Oleh sebab itu, apabila meneroka pasaran luar negara, kami tetap memperkenalkan produk ini sebagai kopi Malaysia dan orang di luar negara juga memang meminati serta meyakini produk Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2023 @ 7:59am
d