bisnes

Sarung tangan getah cecah RM19.04b

SARUNG tangan getah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport produk getah dengan nilai mencecah RM19.04 bilion.

Pada tahun lalu, nilai eksport getah dan produk getah merekodkan nilai RM8.82 bilion dan RM27.16 bilion.

Produk sarung tangan getah kekal penyumbang terbesar kepada eksport produk getah, mewakili 70.1 peratus daripada nilai keseluruhan eksport pada tahun lalu.

Majlis Getah Malaysia (MRC) berkata, Malaysia mengeksport pelbagai jenis sarung tangan getah, termasuk penggunaan dalam sektor perubatan, perindustrian dan perkhidmatan makanan.

"Selain sarung tangan, produk lateks lain yang terdiri daripada benang getah, kondom, kateter dan produk busa meningkat sebanyak 29.1 peratus pada tahun lalu berbanding 2021, dengan jumlah nilai eksport RM2.38 bilion.

"Pertumbuhan yang kukuh menunjukkan bahawa industri produk getah asli Malaysia sedang berkembang melangkaui sarung tangan, yang secara tradisinya sudah menguasai eksport produk lateks negara dengan bahagian sekitar 95 peratus," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Izwan Zarik Sapari berkata, bagi kategori produk bukan lateks, nilai eksport tayar meningkat 4.8 peratus daripada RM1.74 bilion pada 2021 kepada RM1.83 bilion pada tahun lalu.

"Eksport tayar ke pasaran utama seperti Brazil dan Jerman meningkat dengan ketara, masing-masing pada kadar 49 peratus dan 32.4 peratus berbanding 2021," katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2023 @ 7:10am
d