bisnes

Bank Islam, MESINKIRA pacu usahawan mikro

BANK Islam Malaysia Berhad menjalin kerjasama dengan MESINKIRA Sdn Bhd untuk mengguna pakai penyelesaian bersepadu pengurusan perniagaan mudah alih hujung ke hujung bagi menyokong usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan dalam mendigitalkan operasi perniagaan mereka.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, bank itu berkata, dengan menggunakan aplikasi mudah alih MESINKIRA, usahawan mikro akan dapat merekodkan hasil jualan secara digital, menerima pembayaran pelbagai mod dan mengesan inventori dan perbelanjaan perniagaan mereka.

"Bank Islam akan turut memanfaatkan penyelesaian Papan Pemuka Impak MESINKIRA untuk menilai prestasi usahawan mikro dengan lebih lanjut dan menganalisis keberkesanan program pembiayaan mikro bagi mewujudkan peningkatan status sosioekonomi dalam kalangan usahawan berkenaan," katanya.

Bank berkenaan berkata, pelanggan pembiayaan mikronya di bawah Program iTEKAD akan mendapat manfaat daripada kerjasama terbabit.

Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata, kerjasama itu akan menyediakan peluang pertumbuhan kepada usahawan mikro dan membantu mereka menjadi celik kewangan, sejajar dengan komitmen bank untuk mewujudkan impak sosial melalui keusahawanan dan ekosistem kewangan sosial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MESINKIRA Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar berkata, kerjasama berkenaan akan mewujudkan ekosistem yang lebih inklusif supaya ia dapat memenuhi keperluan khusus pasaran sasarannya, selaras dengan inisiatif kerajaan dalam menyokong segmen yang kurang mendapat akses perbankan.

Disiarkan pada: March 23, 2023 @ 7:00am
d