bisnes

AirAsia bakal terbang ke Kertajati, Indonesia

Oleh Dayang Pretty Abbyana Datu Asis

Kuala lumpur: AirAsia Malaysia (AK) bakal menjadi syarikat penerbangan pertama yang akan menghubungkan Kuala Lumpur ke Kertajati, Indonesia bermula 17 Mei 2023.

Ia menghubungkan kawasan Bandung Raya dan Cirebon, serta sebahagian wilayah Jawa Barat dan Jawa Tengah yang mana lebih dekat dengan Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, laluan itu bukan saja akan meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi di negara masing-masing malah, ia juga akan mengeratkan hubungan antara dua negara.

"Sebagai sebuah kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai rangkaian yang meluas di Asean dan Asia Pasifik, bersama-sama Indonesia AirAsia (QZ), kami akan menghubungkan pengembara secara terus ke lebih banyak bandar unik yang kurang mendapat perkhidmatan di Indonesia dan Malaysia serta lain-lain destinasi.

"Sama seperti kami memperkenalkan rangkaian ke Bandung pada tahun 2004, kami tidak sabar untuk membawa lebih ramai orang melawat ke Jawa Barat untuk menikmati kekayaan budaya dan keajaiban alam semula jadinya yang luar biasa.

"Kami juga tidak sabar untuk menerbangkan lebih ramai pengembara ke Kuala Lumpur dan menghubungkan mereka ke seluruh Asean dengan rangkaian kami yang luas," katanya dalam kenyataan.

Sebagai laluan ke-12 AirAsia Malaysia ke Indonesia, Kertajati mengukuhkan komitmen berterusan syarikat penerbangan itu kepada Indonesia sebagai pasaran terasnya dan mengukuhkan misinya untuk mendemokrasikan perjalanan udara dengan menghubungkan destinasi yang kurang mendapat perkhidmatan di rantau ini.

AirAsia Malaysia (AK) kini terbang ke 11 laluan di Indonesia dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh, Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Padang, Pekanbaru, Makassar, Yogyajakarta dan Balikpapan, serta dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan.

Sempena sambutan pelancaran laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua atau sehala daripada RM149 bermula hari ini hingga 16 April 2023 untuk tempoh perjalanan antara 17 Mei dan 23 Oktober 2023 di AirAsia Super App atau airasia.com.

Disiarkan pada: April 10, 2023 @ 2:40pm
d