bisnes

Perkenal insurans mampu milik

Oleh Redzuan Muharam

PERLINDUNGAN takaful dan insurans mampu milik atau Insurans Rahmah dijangka diperkenalkan menerusi dua fasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd Radzuan Mohamed berkata, bagaimanapun tiada perincian mengenai inisiatif berkenaan dan bila ia akan dilaksanakan kerana pengumumam lanjut akan dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pertemuan dan mesyuarat dengan KPDN baru-baru ini.

Menurut Mohd Radzuan, pelaksanaan insiatif itu nanti juga akan membabitkan institusi kewangan seperti mana diumumkan Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan siri kerjasama bersama KPDN.

"Kita akan membantu kementerian untuk memastikan inisiatif Insurans Rahmah dilaksanakan nanti akan membantu golongan sasar termasuk B40.

"Ia kerana ramai juga keluarga daripada golongan muda dengan anggaran 940,000 pekerja dalam sektor ekonomi gig manakala 1.2 juta lagi mencari pendapatan sebagai pekerja perkhidmatan.

"Jadi, ada keperluan untuk kita memastikan segmen itu mendapat perlindungan dan pentingnya kementerian untuk menyokong mereka terutama jika hilang pekerjaan atau kehilangan motosikal," katanya pada sidang media pada Majlis Iftar Jama'i MTA bersama media dan pengumuman prestasi industri takaful di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas berkata, Takaful Keluarga mencapai kadar penetrasi sebanyak 20.1 peratus tahun lalu berbanding 18.6 peratus pada 2021 berdasarkan bilangan sijil yang berkuat kuasa berbanding jumlah penduduk negara ini.

Menurut Elmie, pertumbuhan industri itu didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk produk kewangan Islam dan penerimaan produk takaful sebagai skim perlindungan yang digemari.

"Kita sedang menyaksikan permintaan tinggi untuk produk takaful dengan semakin ramai rakyat negara ini menyedari kepentingan melindungi diri dan keluarga mereka daripada risiko kewangan.

"Bilangan sijil yang aktif meningkat kepada 6.63 juta sijil, berbanding 6.07 juta pada 2021.

"Secara keseluruhan, industri perniagaan baru Takaful Keluarga mencatat sumbangan kasar sebanyak RM10.06 bilion, peningkatan sebanyak 18.3 peratus berbanding RM8.5 bilion pada 2021," katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2023 @ 6:05am
d