bisnes

Pakej lengkap harga berbaloi

MIMM Travel & Tours Sdn Bhd (MIMM), pengendali pakej ibadah haji dan umrah yang tersenarai sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bersedia menawarkan perkhidmatan berkualiti dan perjalanan terbaik buat pelanggannya menerusi pakej lengkap pada harga berbaloi.

Pengarahnya, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pihaknya menguruskan jemaah peribadi secara kumpulan kecil termasuk untuk golongan kenamaan, kakitangan kerajaan serta mereka yang ingin membuat umrah 'DIY'.

Katanya, sejak MIMM ditubuhkan pada 12 Disember 2012, syarikat itu terus mendapat kepercayaan pelanggan dari dalam dan luar negara untuk mengerjakan umrah dan haji.

"Kami antara agensi umrah yang menawarkan pakej berkonsep back packers dan syarikat mempunyai pelanggan setia yang selalu menggunakan servis kami, sejajar motto syarikat di mana kepuasan pelanggan menjadi keutamaan.

"Tahun ini kami mendapat kepercayaan Tabung Haji dengan memperoleh lesen PJH kerana hanya 23 lesen dikeluarkan. Kami jangkakan lebih 200 jemaah haji akan diuruskan di bawah MIMM.

"Memandangkan kos menunaikan haji meningkat, tahun ini pakej haji yang kami tawarkan serendah RM48,990 dan untuk pakej lain, mereka yang berminat boleh melayari mimmtravel.com," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, MIMM berada di landasan tepat untuk menjadi antara pemain utama sebagai pengelola jemaah haji dan umrah di negara ini, sekali gus mengekalkan kualiti perkhidmatan.

Mohd Irwan berkata, menjelang 2025, ia merancang membangunkan modul bagi petugas dan mutawif di tanah suci, sekali gus memberi peluang menjana pendapatan.

"Ada mutawif kami terdiri daripada pelanggan MIMM sendiri.

"Selain haji dan umrah, MIMM juga ada pakej pelancongan ke luar negara dan kami mempunyai cawangan di United Kingdom bagi memenuhi permintaan umat Islam dari Eropah yang mahu mengerjakan umrah," katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama bakal jemaah supaya tidak terlalu ghairah dengan pakej haji atau umrah yang ditawarkan pada harga terlalu rendah.

"Dapatkan maklumat tepat untuk elak penipuan dan kena ambil tahu latar belakang syarikat berkenaan dan jika untuk mengerjakan haji, lebih baik dapatkan perkhidmatan dari 22 PJH yang tersenarai dengan Tabung Haji," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 7:00am
d