bisnes

Bank Rakyat jalin kerjasama dengan KPM

Oleh Nur Ilyanie Hanisha Hisham

Kuala Lumpur: Bank Rakyat bersama-sama menyokong Program Perpaduan Madani peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan sekolah di seluruh negara.

Program Perpaduan Madani ini bertujuan menyambut usaha kerajaan menerusi Minggu Perpaduan Negara Tahun 2023 yang bertemakan 'Perpaduan dalam Kepelbagaian'.

Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat mempunyai rancangan bersama KPM untuk menganjur beberapa inisiatif demi mendukung komitmen perpaduan yang diinspirasikan oleh KPM.

Karnival ini bakal dianjurkan di beberapa lokasi di seluruh negara yang akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik.

Pada April lalu, Bank Rakyat menganjurkan lima Karnival Kelab Nuri Ramadan di lima sekolah di Sabah, Selangor, Pahang, dan Kedah.

Selain itu, inisiatif untuk mengadakan Pertandingan Choral Speaking Kelab Nuri Madani adalah kesinambungan daripada dua program Choral Speaking yang dianjurkan oleh Bank Rakyat sebelum ini.

Bank Rakyat juga bakal memperkenalkan program Saudagar Cilik Nuri untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Menurut kenyataan Bank Rakyat, program-program yang disediakan ini adalah untuk memaparkan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin terhadap institusi pendidikan negara secara menyeluruh bertepatan dengan nilai Malaysia Madani.

Sementara itu, 26 sekolah serta lebih 13,000 pelajar yang terlibat dalam program Sekolah Tanpa Tunai anjuran Bank Rakyat.

Program berkenaan untuk memberi penekanan kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran hidup terutama dalam kalangan pelajar.

Disiarkan pada: May 31, 2023 @ 12:12pm
d