bisnes

CBP catat keuntungan tertinggi dalam sejarah

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama (CBP) merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM103.43 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, angka tertinggi sejak penubuhannya pada 1950.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, peningkatan itu sebanyak 20 peratus itu berbanding rekod tahun sebelumnya yang berjumlah RM86.14 juta.

Katanya, CBP juga mencatatkan peningkatan aset tertinggi iaitu sebanyak 28 peratus kepada RM7.73 bilion setakat 31 Disember lalu, daripada RM6.07 bilion pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan keuntungan dipacu oleh pembiayaan peribadi, Ar-Rahnu dan pembiayaan perumahan, di samping pembiayaan koperasi serta korporat.

"Selain itu, kami bakal mengumumkan dividen dalam masa terdekat, selepas mendapat kelulusan dan persetujuan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Kami sudah mencadangkan pembayaran dividen sebanyak 6.3 peratus kepada SKM," katanya kepada media selepas Pembentangan Prestasi Tahun 2022 CBP di sini, hari ini.

Menurutnya, kadar yang dicadangkan adalah kompetitif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun lalu, seiring dengan keuntungan dicapai.

Sementara itu, Baharom berkata, jumlah keahlian CBP kini dianggarkan lebih daripada 90,000 dan pihaknya menyasarkan keanggotaan sebanyak 150,000 ahli menjelang 2026.

Beliau berkata, pembukaan semula tawaran kepada orang ramai untuk melanggan syer institusi perbankan berkenaan sejak Januari lalu turut membantu meningkatkan bilangan anggota.

"Tawaran ini akan terus dibuka sehingga hujung tahun ini, namun sekiranya kadar disasarkan dicapai lebih awal, ia mungkin akan ditutup sebelum tempoh terbabit.

"Selain itu, kami menyasarkan untuk mencapai aset berjumlah RM9 bilion menjelang akhir tahun ini," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2023 @ 3:02pm
d