bisnes

Mohon tambah dana naik taraf sektor automotif, digital

Oleh Faiqah Kamaruddin

Kuala Lumpur: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Malaysia) memohon pertimbangan kerajaan menambah peruntukan dana bernilai RM2 bilion bagi menaik taraf sektor automotif dan digital.

Presidennya Ding Hong Sing berkata, industri itu memerlukan pembiayaan bagi meningkatkan pengeluaran dan mengembangkan eksport mereka, selain terpaksa menanggung kos jentera dan peralatan automatik yang tinggi.

"Jika PKS tidak dapat geran, mereka terpaksa meminjam daripada bank.

"Jadi, kami memohon supaya kadar faedah di bawah dua peratus diberikan kepada pengusaha yang membuat pinjaman bagi memudahkan pembayaran balik.

"Pada masa ini, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menghadapi kesukaran aliran tunai perniagaan, jadi kadar faedah rendah memang amat membantu kelangsungan mereka," katanya pada Majlis Anugerah Perniagaan Platinum 2023 di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia dan Big Tree, Stephanie Wong dan Pengerusi Majlis Anugerah Perniagaan Platinum 2023 Datuk Ada Poon.

Sementara itu, Ding berkata, tidak semua PKS bersedia untuk melaksanakan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Amalan ESG masih dalam skala kecil. Untuk membantu PKS bergerak ke hadapan, pihak persatuan bekerjasama dengan kementerian dan pihak berkepentingan untuk menghasilkan garis panduan ESG, rangka kerja serta garis masa bersesuaian untuk memudahkan penerimaan ESG dalam industri ini.

"Saya juga berharap pihak kementerian menganjurkan jelajah seluruh negara serta kursus dan latihan kepada pengusaha bagi meningkatkan kesedaran mengenai ESG," katanya.

Sementara itu, Ewon berkata, permintaan persatuan itu akan dibawa ke perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau yakin Anwar akan membuat keputusan terbaik selepas Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut membuat semakan berhubung isu kekurangan kerangka kerja ESG, baru-baru ini.

Disiarkan pada: June 15, 2023 @ 8:54pm
d