bisnes

Implikasi negatif kepada ekonomi

Kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia berbanding mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS$) memberi implikasi yang sangat negatif kepada ekonomi negara dan rakyat.

Pensyarah Kanan Perbankan Islam dan Kewangan di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, tidak dinafikan kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang dunia memberi kesan baik kepada ekonomi negara tetapi keburukan kejatuhan nilai ringgit lebih besar berbanding dengan kebaikan.

Katanya, kejatuhan nilai ringgit bukan sahaja disebabkan oleh faktor dalaman, tetapi juga faktor luaran kerana Malaysia mempunyai hubungan dagangan dan antarabangsa dengan negara luar.

"Kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang dunia menyebabkan kos untuk mengimport barangan menjadi mahal. Apabila kos mengimport menjadi mahal, maka peniaga akan memindahkan kos kenaikan harga import ini dengan terpaksa menjual barangan kepada pelanggan pada harga yang mahal.

"Jadi, masyarakat terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang sama pada suatu ketika dahulu. Kesan daripada berbelanja lebih ini menyebabkan masyarakat tidak dapat menyimpan untuk simpanan di institusi perbankan.

"Akhirnya sektor perbankan juga akan turut terkena tempias kerana jumlah deposit yang semakin menurun menyebabkan secara tidak langsung aset bagi perbankan juga akan menurun," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain itu kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia juga menyebabkan nilai barangan yang dieksport ke luar negara menjadi semakin berkurang kerana nilai ringgit mengalami penyusutan.

Beliau berkata, kos mengeksport yang semakin naik akan menyebabkan syarikat dan peniaga perlu menanggung kos yang tinggi.

"Ini amat merugikan negara dan peniaga dalam jangka masa panjang dan kejatuhan ringgit juga memberi kesan buruk kepada pasaran saham Malaysia.

"Ini kerana kejatuhan nilai ringgit akan memberi krisis keyakinan pelabur kepada Malaysia yang akhirnya membuatkan pasaran saham mengalami kemerosotan.

"Kemerosotan keyakinan pelabur kepada ekonomi Malaysia perlu ditangani segera kerana ia memberi implikasi kepada pasaran," katanya.

Sementara itu katanya, antara kebaikan penurunan nilai ringgit, ia menjadikan jumlah eksport negara menjadi semakin meningkat dan banyak kerana permintaan terhadap barangan Malaysia lebih tinggi oleh sebab nilai barangan menjadi murah berbanding barangan negara lain.

"Justeru, peniaga dan syarikat yang menjalankan urus niaga sehingga ke peringkat eksport barangan mereka akan mendapat manfaat atas kenaikan permintaan produk mereka.

"Ini sedikit sebanyak akan memacu permintaan ringgit dan selain itu kejatuhan nilai ringgit menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi utama pilihan pelancong kerana di bumi bertuah Malaysia, terdapat pelbagai destinasi menarik untuk dikunjungi," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2023 @ 7:01am
d