bisnes

SC umum barisan penasihat syariah baharu

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan barisan Majlis Penasihat Syariah (MPS) baharunya untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2026.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, MPS memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran modal Islam sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam industri, di samping menyokong dan memudahkan usaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ruang ini.

"Di SC, kami terus menyepadukan inovasi dan kemampanan ke dalam pengetahuan dan amalan Syariah untuk mengukuhkan daya saing Malaysia sebagai hab kepimpinan pemikiran ICM global yang terkemuka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada ahli terdahulu atas dedikasi mereka dalam memajukan pembangunan ICM Malaysia.

"Diharapkan barisan ahli baharu untuk penggal ini akan terus memajukan aspirasi kewangan Islam," katanya.

Barisan baharu terdiri daripada pelantikan semula dan pelantikan baharu.

Bagi pelantikan semula, ia membabitkan Profesor, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Aznan Hasan; Profesor Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM, Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Timbalan Presiden Penyelidikan/Pengarah Eksekutif, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF, Prof Dr Ashraf Md Hashim; Naib Canselor, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dan Pengarah, Pusat

Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF, Prof Madya Dr Mohamed Fairooz Abdul Khir.

Bagi pelantikan baharu, ia membabitkan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir;

Pengarah, Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF, Dr Marjan Muhammad; Penolong Profesor,

Abdulhamid Abusulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan UIAM, Penolong Profesor Dr Akhtarzaite Abdul Aziz; dan bekas penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam, Burhanuddin Lukman.

Disiarkan pada: July 13, 2023 @ 5:37pm
d