bisnes

Shell Malaysia lancar aplikasi mudah alih Shell App

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Shell Malaysia menyasarkan untuk melengkapkan penggunaan aplikasi mudah alih Shell App terbaharunya di lebih 1,000 stesen minyaknya di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Mobiliti Malaysia Shell, Seow Lee Ming berkata, ia bagi menaik taraf pengalaman mengisi bahan api, dengan pembayaran lebih mudah dari dalam kenderaan.

"Dunia semakin berkembang pantas dan pelanggan juga mahukan keselesaan dengan kaedah mereka sendiri dan Shell App berfungsi sebagai komponen penting bagi meningkatkan pengalaman mereka di Shell,"

"Ia bukan sahaja bagi pembayaran lebih pantas malah boleh menebus bahan api atau croffle kegemaran sambil mengumpul mata ganjaran dengan ciri bersepadu BonusLink daripada lebih 3,000 rakan niaga," katanya pada majlis pelancaran aplikasi mudah alih Shell App di Shell LDP Puchong South dekat sini, hari ini.

Shell App menawarkan ciri pengesahan keselamatan 3-D Secure sebagai perlindungan keselamatan tambahan untuk pengguna.

Aplikasi ini juga membolehkan pelanggan memantau setiap mata ganjaran dan yang terkumpul.

Ia juga memberi maklumat mengenai lokasi stesen Shell berdekatan, serta kemudahan seperti surau, ATM, Shell Care atau pusat cuci kereta di mana-mana stesen minyak berkenaan.

Seow berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelanggan bagi meningkatkan kesedaran ramai terhadap Shell App.

"Selain itu, ia bagi membolehkan mereka mendapat maklumat yang lebih baik untuk menggunakan aplikasi ini," katanya.

Buat masa ini Shell App boleh digunakan di 650 stesen minyak Shell.

Aplikasi ini boleh di muat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store.

Disiarkan pada: August 21, 2023 @ 1:41pm
d