bisnes

RM2 juta perkasa TVET

DALAM usaha memperkasa Pendidikan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan memperuntukkan RM2 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).

Program ini dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui agensinya, SME Corp Malaysia dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Program Tube TVETMARA dijalankan secara fizikal di Mara-Japan Industrial Institute (MJII), Beranang, Selangor, bermula 31 Julai sehingga semalam.

SME Corp Malaysia dalam kenyataannya berkata, Tube dilaksanakan bagi memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia serta membentuk daya tahan, disiplin dan kepemimpinan dalam pengendalian perniagaan.

Katanya, seramai 60 usahawan belia yang mempunyai latar belakang usahawan teknologi daripada institusi pendidikan dan latihan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjaya dilatih menerusi program itu, pada tahun ini.

"Usahawan belia TVET yang berpotensi dan berjaya menamatkan latihan (ini) layak dipertimbangkan Geran Pengembangan Perniagaan sehingga RM 20 ribu setiap seorang," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, program ini memfokuskan pemerkasaan belia Bumiputera yang memiliki kemahiran vokasional untuk menceburi dan menerokai bidang perniagaan.

Beliau berkata, ia sekali gus mengurangkan kadar pengangguran serta kebergantungan graduan TVET kepada makan gaji.

"Selain itu, usahawan yang menyertai program ini dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan pembabitan usahawan baharu dalam bidang keusahawanan, dan meningkatkan pengeluaran produk atau perkhidmatan tempatan berkualiti bagi memenuhi permintaan pasaran sedia ada," katanya.

Sejak 2014, seramai 7,183 belia dilatih untuk menceburi bidang perniagaan di bawah program Tube.

Disiarkan pada: August 5, 2023 @ 7:00am
d