bisnes

Tingkat akses biaya PMKS

AGENSI di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) diingatkan agar lebih cakna terhadap cabaran yang dihadapi oleh usahawan dalam mendepani ekonomi dan geopolitik.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, agensi itu seharusnya mencari pendekatan terbaik bagi memastikan bantuan disalurkan kepada usahawan.

"Langkah berkenaan perlu diambil agar tidak menjadi penghalang untuk usahawan daripada terus berkembang maju," katanya semasa melancarkan SME Bank Xcess 2023 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kuskop, Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, kerajaan komited dalam memastikan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan mewujudkan ekosistem keusahawanan holistik serta kondusif dapat dicapai menjelang 2030.

Katanya, sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga sudah meningkat kepada 38.4 peratus pada 2022 dengan nilai tambah berjumlah RM580.4 bilion berbanding RM520 bilion pada 2021.

Menurutnya, ia membuktikan sektor PMKS memainkan peranan penting dalam pemangkin pertumbuhan ekonomi mampan.

Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan dengan menyediakan persekitaran diperlukan seperti mengukuhkan infrastruktur menyokong pembangunan, membina kapasiti dan keupayaan serta meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PMKS.

Ewon berkata, pihaknya turut melihat program SME Bank Xcess 2023 yang dianjurkan menyokong komitmen kerajaan dengan strategi bagi memastikan kemudahan, jangkauan dan perkhidmatan kepada PMKS dapat ditawarkan secara harmoni dengan membuka pelbagai peluang untuk semua pihak.

"Program ini merupakan peluang baik untuk berinteraksi dan berbincang dengan pelabur, pemasar serta agensi yang akan membantu daripada segi peningkatan kapasiti, pengenalan kepada keadaan dan keperluan pasaran serta belajar daripada usahawan berjaya di pasaran luar.

"Saya juga berharap program SME Bank Xcess 2023 ini dijadikan sebagai wadah untuk mewujudkan kerjasama dan jaringan strategik antara usahawan PMKS dengan kerajaan serta agensinya," katanya.

Dalam pada itu, Aria berkata, SME Bank Xcess merupakan program tahunan utama yang membolehkan pihaknya memainkan peranan sebagai peneraju dalam penciptaan nilai ekosistem PMKS yang melangkaui perkhidmatan pembiayaan.

Disiarkan pada: September 22, 2023 @ 7:00am
d