bisnes

Melaka negeri pertama di Malaysia ada kilang kenderaan EEV, EV

Oleh Amir Mamat

Alor Gajah: Melaka memulakan langkah penerokaan industri automotif baharu menerusi pembukaan kilang pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan eletrik (EV) pertama di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, kilang yang dibangunkan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Taman Perindustrian HICOM, Pegoh di sini, membabitkan nilai pelaburan RM100 juta.

"Ia menjadi pelopor kepada pembangunan kenderaan elektrik negara sekali gus bakal merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berbangga kepada syarikat pengeluar kenderaan itu kerana bukan sahaja berjaya memperoleh kelulusan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), malah memilih Melaka untuk membangunkan fasiliti pertama di negara ini.

Katanya, kejayaan itu secara tidak langsung menjadi indikator cukup bermakna kepada kerajaan negeri yang amat komited untuk membangunkan projek pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi seperti projek automotif baharu itu.

"Hal ini sejajar dengan hala tuju kerajaan negeri di bawah pentadbiran saya yang sentiasa terbuka dalam menarik kemasukan lebih banyak pelaburan baharu ke negeri ini melalui dasar mesra pelabur dan mesra perniagaan.

"Menerusi kesediaan dan komitmen syarikat EPMB untuk melaksanakan pembangunan fasiliti automotif baharu ini, khususnya bagi kenderaan EEV, EV serta kenderaan komersial elektrik, sudah tentu akan membuka lembaran baharu, seterusnya membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan," katanya selepas merasmikan upacara pecah tanah pembangunan kilang kenderaan baharu EPMB di Kawasan Perindustrian HICOM, Pegoh di sini tadi,

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salha Saleh; EXCO Sains, Inovasi, Teknologi, Komunikasi dan Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, VP Shanmugam; Pengarah Eksekutif Kanan Advokasi Polisi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan EPMB, Hamidon Abdullah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kilang yang terletak di kawasan seluas 17 hektar itu yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan, bakal menjadi pusat untuk mengeluarkan dan memasang kenderaan empat roda EEV, EV serta kenderaan komersial elektrik.

Katanya, apabila siap kelak, ia akan menghasilkan sekurang-kurangnya 30,000 unit kenderaan eletrik setahun selain menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Disiarkan pada: October 20, 2023 @ 3:28pm
d