bisnes

'Shopee Rai Lokal', warkah cinta buat usahawan tempatan

Oleh Hanis Aliaa Hidzir

Shopee Malaysia baru-baru ini melancarkan dokumentari 'Shopee Rai Lokal' ketika majlis Anugerah Super Shopee 2023.

Ia mengisahkan kisah inspirasi tiga usahawan tempatan yang mengharungi pelbagai cabaran bagi mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan digital.

Ketua Pemasaran Shopee, Kenneth Soh berkata 'Shopee Rai Lokal' adalah warkah cinta buat usahawan tempatan.

"Kami mahu membawakan kesedaran kepada pengguna tempatan bahawa di belakang setiap perniagaan dalam talian, terdapat komuniti yang disokong oleh penjual, dan dokumentari ini bukti kecerdasan, daya tahan, dan nilai murni mereka."

Filem ini menampilkan Edward Wong dari HomeDecoStore, Felicia Tan dari Mamami Shoppe, dan Mohd Zaid Othman dari Lampu Cherita.

Setiap usahawan berkongsi perjalanan unik mereka yang bermula secara kecil-kecilan dan mencipta kejayaan dengan sentiasa berkembang dalam bidang masing-masing.

Diarahkan pengarah filem indie terkenal, Khairil M Bahar, 'Shopee Rai Lokal' adalah dokumentari pertama yang dilancarkan Shopee di Malaysia.

Melalui projek ini, Shopee berhasrat memberikan inspirasi kepada orang ramai bagi mengejar impian perniagaan dalam talian mereka dan menggalakkan rakyat Malaysia menyokong penjual tempatan.

"Dengan perkongsian dokumentari ini, kami berharap ia dapat memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencapai impian dalam talian mereka.

"Kami juga memudahkan rakyat Malaysia untuk membeli dengan meraikan penjual terbaik dan menceritakan kisah mereka," katanya.

Kisah unik tiga usahawan e-dagang

Pengasas HomeDecoStore, Edward Wong terpanggil untuk menceburi bidang perniagaan selepas terpaksa berhenti kerja sebagai jurulatih penerbangan susulan pandemik Covid-19.

Bermula dari kecil-kecilan, dia menimba ilmu perniagaan dalam talian sebelum menemui peluang unik dalam produk mini sejadah.

Dedikasi dan pendekatannya yang mementingkan pelanggan ketika Shopee Live serta mengintegrasikan citarasa pelanggan kepada rekaan sejadahnya dan dalam masa sama menghormati sensitiviti agama, menjadikannya sebagai penjual teratas di Shopee.

Pengasas Mamami Shoppe, Felicia Tan pula menubuhkan syarikatnya sebagai penghormatan kepada mendiang ibunya, yang mementingkan gaya hidup sihat kepada keluarganya.

Percubaan Mamami Shoppe dalam e-dagang dengan Shopee pada 2017 membolehkan mereka menjangkau khalayak yang lebih luas dan berkongsi produk gaya hidup sihat dengan pengguna di seluruh Malaysia.

Kejayaan syarikat ini juga mewujudkan impak positif kepada penduduk tempatan, pembekal dan tanggungan mereka.

Sementara itu, pengasas Lampu Cherita, Mohd Zaid Othman pula menemui peluang perniagaannya dalam mencipta lilin.

Walaupun berdepan halangan seperti banjir dan kekangan kewangan, keazaman dan bakatnya untuk bercerita melalui Shopee Live membantunya membina perniagaan yang berkembang maju.

Semua kisah ini akan menjadi inspirasi dan bukti bahawa kekuatan daya tahan, kerja keras serta peluang yang boleh disediakan platform e-dagang seperti Shopee kepada bakal usahawan.

Selain itu, dokumentari 'Shopee Rai Lokal' juga dapat menggalakkan rakyat Malaysia membeli barangan tempatan dan menyokong perniagaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Anugerah Super Shopee 2023 meraikan pencapaian 100 jenama terkemuka, penjual tempatan, dan individu berpengaruh yang memberikan sumbangan besar kepada industri e-dagang.

Majlis yang dihadiri usahawan selebriti seperti Datuk Jovian Mandagie, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan Zoey Rahman itu mempamerkan kuasa kerjasama antara komuniti dalam talian dan Shopee dalam memacu rangkuman dan pertumbuhan ekonomi.

Disiarkan pada: December 19, 2023 @ 12:09pm
d