bisnes

Presint Merdeka 118 nadi tarikan budaya Malaysia

Oleh Muhamad Shaifullah Tayep

STADIUM Merdeka yang dibina pada 1956 melakar sejarah dalam penubuhan Malaysia apabila menjadi lokasi Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sejak itu, ia menjadi simbol kebanggaan negara selain dijadikan tempat untuk pelbagai acara kebudayaan, sukan dan kebangsaan.

Antaranya, Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa yang diadakan pertama kali di Stadium Merdeka pada 1961 dan menjadi tuan rumah temasya sukan dwi-tahunan membabitkan 11 negara Asia Tenggara (SEA) iaitu Sukan SEA.

Stadium Merdeka menjalani beberapa pengubahsuaian dan penambahbaikan selama bertahun-tahun bagi memenuhi piawaian moden sambil mengekalkan kepentingan sejarahnya.

Kini, tapak ikonik ini sekali lagi mencipta sejarah dengan pembangunan Menara Merdeka 118 bersebelahan Stadium Merdeka yang mempunyai ketinggian 678.9 meter.

Ia adalah sebahagian daripada pembangunan presint Merdeka 118 yang dinamakan sempena Hari Kemerdekaan Malaysia.

Ruang komersial di presint Merdeka 118 juga bakal menjadi nadi kepada tarikan budaya Malaysia.

Dengan kehadiran lebih ramai pelancong saban tahun, presint ini pastinya bakal menjadi lokasi utama untuk acara dan sambutan tradisional bagi memperkenalkan keunikan Malaysia ke persada antarabangsa.

Malahan, penambahan ruang komersial juga diyakini boleh menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan melalui pelbagai saluran bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan ekonomi dengan lebih luas.

Dengan penambahan peluang pekerjaan, ia boleh memberi impak positif dalam mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia, membantu peningkatan ekonomi dan membangunkan latihan kemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Merdeka 118 bukan hanya memacu kemajuan, tetapi menjadi suatu permulaan bagi masa depan yang mengujakan buat Malaysia.

Disiarkan pada: January 9, 2024 @ 5:28pm
d