bisnes

Cakna Duit perkasa pengetahuan kewangan rakyat Malaysia

Oleh Muhamad Shaifullah Tayep

Petaling Jaya: Kaji selidik dilakukan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) mendedahkan 84 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan tetap setiap bulan.

Pengerusi Bersama FEN yang juga Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Rafidz Nazri, berkata kaji selidik setiap tiga tahun itu juga mendapati 27 peratus rakyat yang bekerja sangat bimbang dengan keupayaan untuk membiayai perbelanjaan hidup pada hari tua.

"Tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih rendah. Kajian mendapati 69 peratus lebih suka berbelanja berbanding menyimpan yang sekaligus menyebabkan mereka tiada simpanan untuk kegunaan jika berlaku kecemasan.

"Malah, sebanyak 47 peratus mengakui mereka sukar menyediakan wang kecemasan RM1,000," katanya.

Laporan kaji selidik itu juga mendedahkan hanya 20 peratus rakyat dewasa bekerja di negara ini mampu menampung perbelanjaan hidup bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan jika hilang pendapatan disebabkan tiada tabung kecemasan.

Sekiranya keadaan ini berlarutan, mampukah seseorang individu itu menguruskan kewangan dengan stabil dan memberi jaminan di masa hadapan?

Justeru, penting untuk rakyat Malaysia mula celik tentang cara berbelanja dan membuat simpanan.

Syarikat penerbitan digital terkemuka Malaysia, REV Media Group tampil dengan kempen Cakna Duit bagi memperkasakan pengetahuan kewangan rakyat Malaysia dengan menyajikan topik kewangan.

Ketua Kandungan Rangkaian Bahasa Melayu REV Media Group, Noraniza Azmi, berkata kempen celik kewangan Cakna Duit ini akan membabitkan portal The Vocket dan berlangsung selama tiga bulan sehingga Mac 2024.

Ia bertujuan meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia supaya lebih peka dalam hal kewangan sama ada mengenai kripto, perancangan bajet kewangan, cara meningkatkan skor kredit, dan lain-lain.

"Bulan Januari adalah masa terbaik untuk memulakan kempen ini, selaras dengan misi untuk celik kewangan 2024.

"Kami berharap rakyat Malaysia khususnya akan lebih peka tentang pengurusan kewangan menerusi kempen Cakna Duit ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Editor The Vocket, Azam Anwar, berkata pihaknya akan mengadakan diskusi kewangan secara santai bersama pakar yang dikenali di media sosial untuk menarik minat rakyat Malaysia.

"Untuk bulan Januari ini, kami menemu bual Aznah Abas, seorang pakar kad kredit untuk bertukar pendapat dan membetulkan persepsi masyarakat mengenai kad kredit dalam sesi VOCCAST.

"Selain itu, kami juga akan menghasilkan video ulasan aplikasi kewangan yang boleh dimuat turun secara percuma supaya boleh membantu orang ramai mengurus kewangan mereka.

"Untuk mendapatkan perspektif rakyat Malaysia pula, kami juga merancang untuk menemubual orang ramai secara rawak tentang topik kewangan dan dirangkumkan dalam beberapa video pendek 'Voxpop'.

"Kami juga akan membuat perkongsian tip kewangan daripada pakar dan pemilik bisnes dalam bentuk artikel," katanya.

Semoga kempen Cakna Duit dapat menarik rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk mula merancang kewangan mereka dengan lebih baik.

Layari thevocket.com/caknaduit untuk memulakan perjalanan bijak kewangan anda.

Disiarkan pada: January 23, 2024 @ 12:39pm
d