bisnes

Perkeso agih geran RM4 juta cegah kemalangan industri

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini mengagihkan geran bernilai RM4 juta kepada 37 badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi bagi mempertingkatkan aktiviti dan inisiatif pencegahan kemalangan industri.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peruntukan berkenaan disalurkan bagi membolehkan NGO dan institusi melakukan 423 aktiviti meliputi latihan kompetensi dan seminar promosi media serta memperkasakan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Kita nak supaya mereka (NGO) terlibat membantu selesaikan masalah yang sering berkait dengan kemalangan di tempat kerja atau kemalangan industri dan waktu perjalanan ke tempat kerja," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran geran bantuan kewangan Perkeso 2024 di sini hari ini.

Antara penerima geran ialah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Abdul Rahman berkata aktiviti dan langkah pencegahan khusus perlu dirangka memandangkan angka kemalangan direkodkan Perkeso pada 2023 sangat tinggi iaitu 82,876 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 44,422 kes ialah kemalangan industri atau kemalangan di tempat kerja, manakala 38,454 kes merupakan kemalangan perjalanan.

"Sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,060 kes kemalangan maut dilaporkan … punca kemalangan industri menyumbang kepada 310 kematian.

"Kemalangan perjalanan menyebabkan 750 pekerja maut atau jika dilihat dari segi purata sepanjang 2023, sebanyak dua kes kematian direkodkan setiap hari membabitkan pekerja yang dalam perjalanan ke tempat kerja," katanya.

Abdul Rahman berkata aspek penguatkuasaan perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi mengurangkan kes kemalangan di tempat kerja atau dalam perjalanan.

"Penguat kuasa perlu main peranan penting antaranya polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk kita elak kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja," katanya.

Garis panduan pengurusan hilang upaya di tempat kerja kepada majikan turut dilancarkan hari ini bagi membantu pelaksanaan latihan dalam organisasi kepada pekerja hilang upaya untuk kembali bekerja.

Disiarkan pada: January 29, 2024 @ 4:53pm
d