bisnes

Malaysia sedia perkasa teknologi AI dalam kerjaya masa depan

HAMPIR 70 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan RM225 bilion Malaysia adalah dalam ekonomi digital, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam wawancara oleh rangkaian berita berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), CNN, baru-baru ini, beliau menjelaskan, Malaysia ada faktor berjaya memperkasakan kecerdasan buatan (AI) dan membawa keseluruhan ekosistem ke dalam negara.

"Kami ada kilang AI, itu yang kami gelar pada masa ini bukan pusat data, malah kami menerima lawatan daripada Nvidia Corporation, syarikat teknologi multinasional berpangkalan di AS, yang mengumumkan minat meneroka Malaysia dengan syarikat lain untuk menyokong kemajuan AI.

"Ini kerana AI membawa peningkatan produktiviti," katanya.

Tengku Zafrul berkata, terdapat kebimbangan secara umum mengenai kesan AI terhadap masyarakat, namun tidak dapat dinafikan AI membawa kualiti hidup lebih baik dengan membolehkan semua jenis profesion melakukan kerja mereka lebih cekap.

"Pekerjaan masa hadapan mungkin sangat berbeza memandangkan wujud kemajuan dalam teknologi, terutama AI generatif.

"Berasaskan AI, banyak fungsi kerja lain terbabit. Jadi, kita perlu beri kemahiran baharu dan kemahiran tambahan (kepada pekerja) supaya bersedia untuk pekerjaan baharu pada masa hadapan," katanya.

Disember lalu, Nvidia menyatakan kesediaan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam teknologi AI dan bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI negara dari segi membina pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, termasuk membina sistem pengkomputeran awan AI Malaysia sendiri.

Mengenai cadangan beberapa bentuk kenaikan gaji minimum menyeluruh di semua negara Asean, Tengku Zafrul menekankan pentingnya memastikan gaji meningkat.

"Jika anda melihat asas ekonomi Malaysia, inflasi kami berada pada tahap boleh urus. Kadar inflasi pada 2023 adalah 2.5 peratus dan pengangguran terus rendah pada 3.3 peratus.

"Berdasarkan asas ini, kita mesti memastikan apa-apa kenaikan gaji berkait peningkatan produktiviti dan sebab itu saya menekankan pelaburan dalam ekonomi hijau dan ekonomi digital kerana ia meningkatkan kekompleksan ekonomi sesebuah negara dan industrinya," katanya. -Bernama

Disiarkan pada: February 16, 2024 @ 7:01am
d