bisnes

Dividen tak jauh beza

Oleh Redzuan Muharam

Shah Alam: Peratusan dividen antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan jurang yang kecil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dengan Simpanan Konvensional sebanyak 5.50 peratus dan Simpanan Syariah sebanyak 5.40 peratus.

Pada tahun 2022, Simpanan Konvensional mencatatkan dividen 5.35 peratus manakala, Simpanan Syariah (4.75 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perbezaan kecil itu berikutan prestasi saham berkaitan teknologi terutama di Amerika Syarikat (AS) berprestasi lebih baik pada 2023.

Menurut Ahmad Zulqarnain, sebahagian besar syarikat teknologi adalah patuh syariah, justeru prestasi cemerlang akan menyokong pulangan baik bagi Simpanan Syariah.

"Prestasi pasaran ekuiti terutama di AS dipacu tujuh syarikat teknologi.

"Sebahagian syarikat teknologi adalah patuh syariah, justeru pulangan dalam syariah meningkat," katanya pada sidang media sempena taklimat prestasi kewangan KWSP 2023 di sini, semalam.

Ahmad Zulqarnain tidak menjangkakan jurang yang mengecil itu menandakan ia adalah secara penuh atau ia akan memberikan jumlah sama memandangkan pulangan adalah bergantung kepada prestasi pelaburan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan, KWSP akan memastikan pulangan bagi simpanan persaraan lebih tinggi dua peratus daripada kadar inflasi.

Menurut Ahmad Zulqarnain, KWSP juga mengasingkan portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah berhubung dengan pelaburan patuh Syariah KWSP bermula bulan lalu.

"Pengasingan itu bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan setiap portfolio mempunyai Alokasi Aset Strategik (SAA) masing-masing.

"Langkah itu juga bagi memastikan aset di bawah Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional dapat dipelbagaikan dengan lebih baik merentasi kelas aset, pasaran, negara dan mata wang untuk memastikan pulangan yang mampan," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 9:21am
d