bisnes

Bank Rakyat agih 20,000 pek bubur lambuk di 11 lokasi

Kuala Lumpur: Bank Rakyat meneruskan tradisi pengedaran bubur lambuk yang memasuki tahun ke-11 berturut-turut penganjurannya dengan mengagihkan lebih 20,000 pek bubur lambuk kepada komuniti setempat di 11 lokasi di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, program ini adalah inisiatif yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat yang memupuk semangat muhibah, selain inisiatif Jangkauan Komuniti Bank Rakyat untuk mendekati dan berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat.

Menurutnya, istimewa bersempena dengan ulang tahun Bank Rakyat yang ke-70 dan kempen Ramadan Raya 'Tulus Ikhlas' pada tahun ini, sebanyak 70 periuk digunakan untuk menyediakan bubur lambuk, berbanding tahun lalu membabitkan 20 kawah bagi membolehkan lebih ramai lagi dapat menikmati juadah simbolik bulan Ramadan ini.

"Program memasak dan mengedar bubur lambuk disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah bersama-sama Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat di lokasi utama, Menara Kembar Bank Rakyat.

"Bubur lambuk itu diagihkan kepada orang ramai bermula jam 2 petang di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur selain di Kedah, Terengganu, Pahang, Perak, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak," katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 6:01am
d