dekotaman

Pembangunan dalam pembiakbakaan

Oleh Hartini Mohd Nawi

Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan atau hak pembiak baka adalah satu bentuk hak harta intelek yang memberi pembiak baka hak eksklusif untuk mengawal eksploitasi varieti baru tumbuhan yang mereka bangunkan.

Hak itu bukan saja dapat memastikan pembiak baka mendapat pelaburan, malah membantu memperoleh faedah di atas daya inovasi dan kreativiti.

Varieti pula ditakrifkan sebagai suatu kumpulan tumbuhan dalam satu taksonomi (klasifikasi) botani tunggal dari peringkat terendah yang diketahui.

Genera atau spesies yang dilindungi terbuka kepada semua jenis tanaman kecuali mikroorganisma.

Antara jenis tumbuhan bunga yang dimohon sebagai hak pembiak baka seperti orkid, kekwa, cucurma, bunga tasbih, poinsettia, turnera dan pandan hiasan.

Menurut Pengarah Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian, Siti Saudah Hassim, pelaksanaan Sistem Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan di Malaysia berdasarkan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan pada 2004. Akta ini diwartakan pada 1 Julai 2004 dan mula dilaksanakan pada 20 Oktober 2008.

“Banyak kepentingan Sistem Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan ini yang bukan saja memberi hak kepada pembiak baka, malah satu pengiktirafan dan perlindungan ke atas sumbangan petani, masyarakat tempatan serta peribumi.

“Pada masa sama menggalakkan pelaburan dan pembangunan dalam pembiakbakaan varieti baru tumbuhan dalam sektor awam serta swasta,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, Khamis lalu.

Siti Saudah berkata, setiap permohonan pendaftaran perlu melalui beberapa proses di bawah kuasa Lembaga Varieti Tumbuhan.

“Kelayakan permohonan pula terbuka kepada pembiak baka, majikan kepada pembiak baka, petani, masyarakat tempatan atau mana-mana kerajaan yang menjalankan fungsi pembiak baka.

“Varieti yang dipohon hendaklah memenuhi beberapa syarat tertentu pertama, mempunyai nama pengenalan.

“Nama atau pengenalan sesuatu varieti tumbuhan yang dinyatakan dengan abjad atau gabungan abjad dan angka.

“Menerusi syarat penamaan termasuk gelaran bagi genetik varieti tumbuhan, membolehkan ia dikenal pasti dan berbeza daripada nama pengenalan varieti tumbuhan lain dalam spesies sama atau spesies terdekat hubungannya.

“Seterusnya ia adalah varieti yang belum dikomersialkan pada tarikh permohonan iaitu di Malaysia lebih dari setahun sementara di negara lain lebih dari enam tahun bagi pokok dan tumbuhan berkayu menjalar, lebih dari empat tahun bagi tumbuhan lain,” kata Siti Saudah.

Beliau berkata, syarat lain adalah varieti tumbuhan berlainan dapat dibezakan dengan jelas daripada mana-mana varieti tumbuhan yang diketahui umum.

Begitu juga dengan varieti tumbuhan yang menunjukkan ciri-ciri seragam pada setiap peringkat pertumbuhannya.

Selain varieti tumbuhan yang menunjukkan ciri-ciri masih tidak berubah walaupun selepas pembaikan berulang kali.

Sebelum permohonan hak pembiak baka diluluskan, dua peringkat pemeriksaan bagi kriteria tertentu iaitu pemeriksaan permulaan dan pemeriksaan substansif.

“Pemberian hak milik pembiak baka dapat disempurnakan dalam tempoh tertentu. Tanaman singkat masa dari 12 bulan hingga 24 bulan, tanaman jangka masa sederhana dari 25 bulan hingga 60 bulan dan tanaman jangka panjang dari 60 bulan hingga 120 bulan.

“Tempoh perlindungan hak pula biasanya 15 hingga 25 tahun.

“Sepanjang tempoh perlindungan, pembiak baka diberi hak eksklusif untuk melaksanakan aktiviti komersial ke atas bahan pembiakan varieti berkenaan,” katanya.

Justeru, pemegang hak bagi varieti baru tumbuhan mempunyai hak untuk mengenakan royalti ke atas mana-mana pihak yang dibenarkannya.

“Pemegang hak juga boleh mengambil tindakan mahkamah dan menuntut ganti rugi ke atas mana-mana pihak yang tidak mendapat kebenaran.

“Namun terdapat batasan ke atas hak pembiak baka yang membolehkan mana-mana pihak menjalankan kegiatan berkenaan tanpa kebenaran daripada pemegang hak,” kata Siti Saudah.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari http://pvpbkkt.doa.gov.my

Antara varieti baru tumbuhan (bunga)

• Dendrobium ‘Tuanku Fauziah’

• Dendrobium ‘Abdullah Badawi’

• Kekwa ‘Dekshepody’

• Kekwa ‘Mona Lisa Splendid’

• Kekwa ‘Mona Lisa Yellow’

• Kekwa ‘Deknavona’

• Kekwa ‘Dekprius’

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 7:16am
d