dekotaman

Gazebo penyeri laman rumah

Oleh Kamariah Samir dan Ayshah Mohd Jamaludin

Pasti ramai menyimpan impian memiliki kediaman dalam suasana indah dengan keunikan penataan taman.

Lantaran itu, gazebo yang turut dikenali sebagai wakaf dilihat mempunyai peminatnya tersendiri berikutan kaya dengan warisan seni kayu tradisional.

Pemilik Senawang Home Decor, Lokman Atan, 47, berkata, tujuan gazebo dibina bagi menimbulkan nilai estetika di sesebuah laman kediaman.

Beliau yang sudah 12 tahun berkecimpung dalam bidang pembuatan gazebo berkata, meskipun harga sebuah gazebo itu mahal, namun permintaannya tetap ada dan terus meningkat.

“Ada yang sanggup melaburkan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan gazebo impian mereka.

“Ia berbaloi kerana gazebo juga berfungsi sebagai aksesori yang menyerikan laman rumah selain menjadi tempat bersantai dan beristirahat,” katanya.

Menurut Lokman lagi, sumber kayu digunakan dalam penghasilan gazebo diperoleh di beberapa rumah kampung terbiar dan ditinggalkan selain dibeli daripada pemborong tempatan.

“Kayu jenis cengal, merbau dan resak antara cukup lasak dan tahan lama untuk digunakan dalam pembuatan gazebo.

“Kita tahu tiang dan lantainya mudah terdedah kepada air hujan dan udara.

“Penelitian jenis kayu sangat penting bagi mengekalkan kualiti dan ketahanan gazebo sehingga bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Selain itu, menurut Lokman, beberapa model gazebo ditunjukkan terlebih dulu kepada pelanggan sebelum proses pertukangan gazebo dijalankan di bengkelnya yang terletak di Taman Komersial Senawang, Negeri Sembilan.

“Sebaik siap, kami menghantarnya ke rumah pelanggan dan membuat pemasangan.

“Kami juga turut menyediakan perkhidmatan pemasangan dan pendawaian elektrik pada gazebo mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Katanya, untuk menyiapkan sesebuah gazebo mengambil masa lima hari, namun tempoh itu turut dipengaruhi jenis dan bentuk gazebo ditempah pelanggan.

Bagi anda yang mahu menerapkan eleman seperti flora dan fauna pada tiang atau panel dinding, ia memerlukan tambahan masa berikutan ukiran itu agak rumit dan mencabar.

Bapa kepada lima anak itu berkata, pembuatan gazebo bukan sekadar memartabatkan bangsa, malah dapat mendatangkan impak terhadap pembangunan ekonomi setempat.

“Bukan setakat orang tempatan, malah permintaan gazebo juga datang dari luar kawasan seperti Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelanggan Senawang Home Decor, Mohd Hisham Atan, 47, berkata, pembinaan gazebo di laman rumah membawa suasana kampung ke rumahnya.

“Sebelum proses pemasangan dilakukan, saya diberi gambaran awal dan kedudukan gazebo di laman rumah melalui gambar berbentuk 3D.

“Di sini, kami sekeluarga dapat meluangkan masa bersantai dan berehat,” katanya.

Mohd Hisham berkata, beliau membelanjakan ribuan ringgit untuk membina gazebo di laman rumahnya.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 12:16am
d