dekotaman

Rumah cantik dipagari bunga

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Halaman rumah yang dihiasi dengan pelbagai jenis pokok secara lojiknya kelihatan lebih berseri, apatah lagi tanaman jenis berbunga beraneka bentuk, corak dan berwarna-warni.

Lebih mengujakan apabila gabungan pokok bunga ‘lama’ atau lebih dikenali sebagai bunga hutan dengan bunga hiasan moden secara tidak langsung turut menceriakan latar landskap.

Situasi sama turut dirasakan pasangan suami isteri yang juga pesara dalam dunia ‘pertanian’ apabila memilih membina kediaman dipagari pelbagai tumbuhan hijau dan pokok bunga berwarna-warni.

Walaupun kediaman dibina sedikit ‘terperosok’ di kawasan kampung yang pernah dilanda banjir, ia bukan halangan bagi merealisasikan impian mereka itu.

‘Keghairahan’ dan ketaasuban pasangan berkenaan, Abdul Kadir Yusof, 60, dan Noriza Zainol, 56, dalam menterjemahkan kediamannya bagaikan sebuah ‘taman bunga’ tidak dapat disangkal lagi.

“Walaupun rumah pernah dilanda banjir beberapa tahun lalu dan kebanyakan pokok bunga mati, kami tidak berputus asa meneruskan minat serta menanam semula mana-mana pokok bunga yang sudah rosak ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang.

Menurut Noriza, ada antara pokok bunganya yang berusia lebih 30 tahun adalah milik suaminya ketika mereka belum berkahwin.

“Suami memang agak obses dengan apa juga jenis tanaman mungkin disebabkan pengaruh tugasnya selama 36 tahun sebagai Pegawai Promosi dan Teknologi di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Tanyalah apa sahaja berkenaan pokok suami pasti tahu jawapannya, malah dialah yang terlebih dahulu mencadangkan kami menghiasi keliling rumah dengan pokok bunga,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Menurut Noriza yang juga bekas kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), mereka pernah memiliki hampir 200 jenis pokok bunga pada satu masa dan masih gigih menambah koleksi tanaman.

Antara pokok bunga yang ditanam ialah orkid hutan, orkid hibrid, ros Jepun, keembong, bunga butang, bunga raya, lavender dan air mata pengantin.

Sementara koleksi tanaman pula lebih kurang 200 jenis.

Menurutnya, orkid antara tanaman hiasan yang menjadi kesayangannya, tapi tetap memberi tumpuan kepada tanaman lain.

“Lebih 20 spesies orkid hutan dikumpul sejak mendirikan rumah tangga dan ketika bertugas di Kedah.

“Pantang terjumpa pokok orkid terutama orkid hutan, pasti saya beli kerana bentuk, warna, batang dan daunnya yang berbeza-beza nengikut spesies menjadi daya tarikan utama,” katanya.

Menurutnya, orkid tidak sukar ditanam jika pemiliknya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai penanaman dan penjagaannya.

“Kita perlu peka dari segi persekitaran yang sesuai, siraman, pencahayaan matahari, baja dan jenis penyakit yang akan mengganggu,”katanya.

“Apabila rutin penjagaan dikekalkan dan kaedah penyelenggaraan dilakukan dengan betul, orkid atau apa saja tanaman pasti sentiasa hidup subur,” katanya.

Menurutnya, walaupun halaman rumah yang ada itu hanya seluas ‘sekangkang kera’ tapi dengan idea dan kreativiti yang ada mampu menghasilkan ruang yang menenangkan jiwa selain sejuk mata memandang.

“Selain itu, dengan sedikit kreativiti penyusunan pasu bunga di ruang berbaki yang ada mampu menyerlahkan dekorasi laman yang sempurna,” katanya yang menggunakan teknik titisan air menerusi sistem fertigasi untuk menyiram tanaman.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 12:18am
d