dekotaman

Rekaan unik

Oleh Hartini Mohd Nawi

Berpangkalan di London, Trevor Horne Architects menjadi tumpuan peminat dunia seni bina apabila menzahirkan idea pada sebuah kediaman di pesisiran air, Lake Ontario, Kanada.

Lake Ontario berada dalam Great Lakes yang menentukan sempadan tenggara negara itu dengan Amerika Syarikat.

Dalam merencanakan pembinaan kediaman itu, Trevor Horne Architects turut bekerjasama dengan syarikat tempatan, Phil Goldsmith.

Struktur binaan yang kukuh, ruang dalaman luas dan dilengkapkan dengan bumbung ‘zig zag.’

Ketika mengulas lanjut berkenaan kediaman dinamakan Cobourg itu, membabitkan rekaan susun atur segi empat yang menarik perhatian.

Pada bahagian depan atau pintu masuk, lekuk berbentuk L membuatkan kediaman ini turut unik jika ditinjau dari jauh.

Ruang dan taman peribadi pada bahagian belakang yang dicipta juga antara kelebihan kediaman ini, apatah lagi kedudukannya di tepi tasik.

Malah ciri tradisional tempatan apabila ada bumbung tertentu diterapkan ‘tebar layar’ yang seolah-olah membentuk huruf V di sepanjang garisan tengah serta turut menghubungkan struktur binaan lain.

Sementara itu, warna palet gelap menjadi pilihan arkiteknya untuk menonjolkan rekaan kediaman itu.

“Pokok yang ada di sekeliling kediaman ini banyak membantu dalam membangkitkan suasana segar dan hijau sepanjang masa.

“Ditambah dengan panorama tasik dan taman awam di sekitarnya,” kata wakil Trevor Horne Architects.

Di ruang dalaman yang luas lebih menarik dengan latar dinding putih, tingkap dan siling rekaan khas menambahkan kelainan dekorasinya.

Wakil Trevor Horne Architects juga tidak menafikan idea ruang yang luas itu bagi memudahkan pemiliknya meletakkan perabot sedia ada dari kediaman lama pada ruang pilihan di kediaman baru itu.

Perancangan pembinaan yang teliti juga turut meliputi penggunaan material zink dan kaca yang melatari bahagian depan kediaman itu turut disambungkan ke garaj, bilik belajar dan bilik tidur.

Seterusnya tangga di bahagian dapur turut menghubungkan tingkat bawah tanah.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 12:23am
d