dekotaman

Inovasi seni songket

Oleh Hartini Mohd Nawi

Inovasi teknologi turut membawa perubahan besar terhadap seni warisan tradisional seperti songket untuk diselarikan dengan perkembangan gaya hidup masyarakat negara ini.

Songket mempunyai nilai sejarah tersendiri sebagai fabrik warisan agung dan dikatakan mula terkenal di Malaysia sejak abad ke-13 yang lalu.

Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan.

Secara relatifnya ia berjaya mencapai tahap yang memuaskan hingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati dan aksesori hiasan.

Rekaan kontemporari juga lebih menarik perhatian kerana mudah disesuaikan dengan situasi semasa.

Apatah lagi penghasilan aksespori hiasan unik berasaskan songket yang tentunya menyerlahkan idea dekorasi sarat nilai estetika pada ruang tertentu.

Dalam melihat perkembangan membanggakan itu, Ara Borgstena Sdn Bhd antara syarikat yang sinonim dengan seni warisan songket.

Menurut pengurus besarnya, Mohamad Pauzi Zahudin, suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa dan keperluan masyarakat.

“Seni warisannya terus dipertahankan tapi pada masa sama dipelbagaikan fungsinya termasuk mengindahkan penataan ruang.

“Biarpun sekadar aksesori hiasan ringkas, namun apabila berada pada ruang tertentu tarikan produk ‘bersulam’ songket lebih daripada itu,’ katanya yang ditemui ketika Program Liputan Media Sempena Warna-Warni Aidilfitri 2017, anjuran Kraftangan Malaysia, Selasa lalu.

Dekorasi baru pencinta seni warisan

Kunjungan ke Ara Borgstena memberi peluang kepada penulis dan rakan media lain untuk melihat lebih dekat aksesori hiasan berasaskan songket yang dihasilkan.

Daripada bantal hiasan, alas meja panjang (table runner) hingga songket yang dibingkaikan untuk hiasan dinding nyata memberikan idea dekorasi baru buat anda sebagai pencinta seni warisan itu.

“Motif atau corak tradisional masih dikekalkan dan penerapan motif kontemporari pula sering mendapat permintaan ramai.

“Menariknya motif yang dihasilkan pada aksesori hiasan ini mudah disesuaikan dengan pelbagai konsep dekorasi sama ada kediaman atau pejabat.

“Apabila songket dibingkaikan dan menjadi hiasan pada dinding, secara tidak langsung membawa aura eksklusif dan mewah pada ruang terutama ruang tamu,” kata Mohamad Pauzi.

Puas meneroka keunikan produk hiasan Ara Borgstena itu, kami dibawa meninjau proses penghasilan songket menggunakan mesin tenunan khas.

“Inovasi terbaru kami adalah membawa warisan tradisi kita ke tahap yang lebih tinggi dalam seni songket.

“Mesin tenunan khas ini membantu songket dihasilkan dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa dan konsisten,” kata Mohamad Pauzi.

Sementara itu, salah seorang pereka Ara Borgstena, Asrol Azlie Mamat berkata, proses penghasilan tenunan fabrik songket, beberapa peringkat perlu dilalui sebelum membabitkan mesin berkenaan.

“Bermula dengan rekaan pada perisian komputer, susunan benang polister dan metalik barulah tenunan menggunakan mesin.

“Seterusnya membabitkan pemotongan tenunan, kemasan termasuk melembutkan fabrik dan kemasan benang, pemotongan fabrik songket mengikut helaian .

“Kemudian dijahit sebelum diterima pihak yang membuat tempahan,” katanya yang turut bergabung dengan dua lagi pereka.

Bagaimanapun, bukan sekadar hiasan dalaman dihasilkan, malah Ara Borgstena turut menerima permintaan menghasilkan fabrik songket termasuk jubah konvokesyen institusi pengajian tinggi, samping untuk baju Melayu jabatan kerajaan dan korporat serta tenunan yang dilengkapi logo tertentu.

Ara Borgstena terletak di Lot 100, Batu 15 3/4 (KM 26), Jalan Klang Banting, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.

Layari laman web www.araborgstena.com untuk sebarang keterangan lanjut.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 12:31am
d