dekotaman

Bagai lewati abad ke-13

Oleh Hartini Mohd Nawi

Taman ini dibina John R Anderson dan arkitek landskap Hoichi Kurisu pada 1978 di atas tapak kediaman Anderson sendiri.

Ia berinspirasikan pengalaman perjalanan Anderson ke Jepun dan Portland Japanese Garden, Washington Park, Portland selain direka Hoichi dengan idea unik.

Paling menarik berada di Anderson Japanese Gardens, Rockford, Illinois, Amerika Syarikat ini bagaikan membawa anda melewati abad ke-13 dengan keluasan taman 4.8 hektar.

Bukan saja mempunyai reka bentuk yang sempurna dan laluan pejalan kaki selesa semata-mata kerana di taman ini anda boleh temui pelbagai jenis spesies ikan, burung dan itik.

Anda juga berpeluang menikmati keindahan pemandangan semula jadi seperti beberapa air terjun, kolam, sungai dan pembentukan batu-batuan.

Begitu juga dengan kewujudan sebuah rumah teh gaya ‘Sukiya’ dan rumah tetamu hasil binaan Masahiro Hamada.

Dihiasi pelbagai tanaman yang sinonim dengan Jepun, membuatkan anda seolah-olah berada di negara berkenaan.

Singgah di taman refleksi dalam Anderson Japanese Gardens itu juga memperlihatkan idea seni taman kontemporari Jepun dengan elemen hiasan seperti ukiran gangsa.

Pada 1992, Anderson mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Jepun di atas usaha beliau yang cemerlang dalam mempromosikan persahabatan antarabangsa dan persefahaman di antara Amerika Syarikat dan negara matahari terbit itu.

Malah pelbagai program pendidikan diadakan di taman berkenaan meliputi bahasa, seni dan budaya Jepun.

Selain menjadi lokasi penganjuran acara rasmi dan membabitkan kreativiti termasuk demonstrasi kaligrafi, pameran bonsai, gubahan ikebana untuk pelbagai lapisan usia.

Tidak ketinggalan Anderson Japanese Gardens ini turut menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Pembukaan tahunan dan Festival Summer Jepun, yang menampilkan keunikan budaya Jepun.

Sementara pada 1998 pula Anderson dan isterinya mendermakan taman berkenaan kepada sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan.

Pada 2004, Anderson Japanese Garden muncul antara taman Jepun terbaik di Amerika Utara oleh Journal of Japanese Gardening.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 8:18am
d