dekotaman

Lukisan pelengkap dekorasi

Oleh Mohd Amin Jalil

Ketika kebanyakan pemilik rumah menggunakan perabot moden dan jati atau bahan fabrik terbuang sebagai dekorasi dalam rumah, Mohd Noor Mahmud mempunyai cara tersendiri untuk menjadikan suasana kediamannya tampil hebat.

Pendidik berusia 55 tahun itu menjadikan lukisan dihasilkannya sebagai pelengkap dekorasi kediamannya di Taman Tuanku Jaafar Senawang, Negeri Sembilan.

Tidak hairanlah kualiti dan ketinggian seni lukisannya mengambarkan pelbagai konsep kontemporari, menyerlahkan keindahan tersendiri.

Beliau sudah menghasilkan 100 lukisan sepanjang lebih 20 tahun pembabitannya itu menonjolkan pelbagai konsep, menjadikan dekorasi dicipta menampilkan kelainan.

Biarpun sekadar memenuhi masa lapang, beliau dilihat seorang berjiwa halus dan mempunyai daya kreativiti tinggi kerana berjaya menjadikan sumber alam semula jadi sebagai cetusan idea dalam lukisannya.

Malah, seni kraf seperti batik, songket dan pertukangan perak selain tokoh tertentu yang mempengaruhi kebudayaan masyarakat Malaysia diadun begitu baik dengan menterjemahkannya di atas kanvas.

“Saya cuba ketengahkan kelainan dengan mencipta dekorasi berasaskan lukisan saya hasilkan sendiri dalam menampilkan suasana indah serta menarik.

“Malah, ia lebih memberi kepuasan kepada saya dan ahli keluarga kerana apa yang terhasil adalah usaha serta kreativiti tersendiri.

“Setiap lukisan ini bukan saja mampu memberikan kenangan, malah ketenangan kerana ia mengambarkan pelbagai suasana seperti alam semula jadi, sejarah dan budaya masyarakat selain potret tokoh yang boleh memberi inspirasi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Noor antara pelukis tempatan yang berjaya meneroka penggunaan teknik kraf tradisional bagi membawa satu seni bertema kontemporari.

Oleh itu, beliau menggunakan campuran akrilik bersama habuk papan yang diletakkan ke atas helaian kanvas.

Teknik itu digunakan bertujuan untuk memberi kesan lebih lembut ke atas karya selain dapat meggantikan teknik ukiran kayu yang lebih sukar.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Pelukis Negeri Sembilan (PPNS) berkata, pelbagai pilihan lukisan boleh diselitkan dalam ruang kediaman dan dinding luar mengikut gaya, konsep dan suasana.

Menurutnya, keadaan itu boleh disesuaikan mengikut susunan dan fungsi perabot hingga menjadikan ruang kediaman kelihatan unik serta serasi dengan hasil sentuhan pada gambar lukisan itu.

“Lukisan yang berkonsepkan alam semula jadi mampu mewujudkan suasana tenang dan segar dalam kediaman. Saya sukakan kelainan dan suasana kontemporari yang mampu menampilkan nilai estetika,” katanya.

Ketinggian seni dan keunikan lukisan yang menghiasi setiap sudut rumah teres setingkat lot tepi itu bagaikan galeri dan membuatkan ramai kalangan rakan mengkagumi Mohd Noor, malah ada yang mahu membeli karyanya.

Bapa kepada dua anak remaja itu berkata, pergaulan dengan rakan pelukis memberi banyak inspirasi baru dalam pengkaryaan dan media baru (akrilik).

“Ada juga yang saya jual, tetapi bilangannya sangat sedikit kerana saya mahu abadikan segala karya ini untuk anak-anak dan ahli keluarga.

“Apa pun, saya puas hati setiap kali melihat karya ini dan ia nyata memberikan ketenangan serta kepuasan kerana dapat mengabadikan sesuatu yang berharga tentang kehidupan menerusi lukisan,” katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 8:24am
d