dekotaman

Mulakan dengan ruang penting

Oleh Hartini Mohd Nawi

Penataan langsir yang menarik dan sempurna mampu menzahirkan konsep dekorasi pilihan anda atau menjadikan ruang tertentu lebih privasi dan selesa.

Dalam kesibukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri, tentunya kemasan langsir turut tersenarai.

Kelainan dekorasi tidak hanya terhasil daripada peruntukan bajet yang besar kerana segalanya terpulang kepada kreativiti dan cara anda menyusun letak setiap elemen hiasan.

Bermakna, pendekatan suai padan bukan lagi pelik kerana ia lebih berbaloi dan menjimatkan perbelanjaan.

Penambahan atau suai padan langsir siang di ruang tamu yang biasanya berasaskan fabrik nipis menggantikan kemasan sedia ada juga antara perancangan menarik.

Menurut pakar kemasan langsir dan pengasas Elyza’s Home Elyza Yong, kreativiti dalam menyuai padan langsir kini bagaikan trend dalam kalangan masyarakat kita.

“Suai padan pada warna, tekstur dan corak berbeza sudah tentu membentuk gaya baru yang menarik serta unik.

“Namun, sebelum memilih langsir, pertimbangkan kesesuaian elemen lain termasuk warna kemasan lantai, permaidani, aksesori hiasan utama, dinding dan siling malah ruang tamu.

“Paling penting ia memberikan kekuatan dalam menyerlahkan suasana harmoni, selesa dan sedap mata memandang walau apa pun konsep dekorasi berasaskan suai padan itu,” katanya.

Elyza yang turut berkongsi panduan kemasan langsir itu berkata suai padan perlu dimulakan dengan ruang yang penting iaitu ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur utama.

“Rancang teliti setiap elemen suai padan itu supaya tidak bercampur aduk hingga menyakitkan pandangan.

“Bagi Aidilfitri, menukar fabrik langsir dalam warna lembut juga dicadangkan.

“Malah warna lebih lembut dan samar kini menjadi menjadi pengganti.

“Rona yang lembut bukan sahaja memberikan keselesaan mata memandang malah ia tampil segar dan moden,” kata Elyza yang juga ketua pegawai operasi Elyza’s Home itu.

Namun jika anda selesa memilih warna selamat, dicadangkan memilih saja rona bumi dan semula jadi.

Seterusnya lakukan suai padan yang sesuai supaya mood perayaan lebih terasa dan bermakna.

“Aksesori hiasan lain juga perlu menarik apabila dipadankan. Bukan sekadar langsir, kehadiran kusyen atau bantal hiasan dan alas meja dalam corak ringkas serta warna sepadan juga berjaya menambahkan kelainan ruang,” kata Elyza.

Bagaimanapun, jika anda mempunyai bajet lebih, penggunaan langsir yang tinggi mencecah siling mencipta gaya eksklusif pada ruang berbanding langsir pendek. Apatah lagi ruang kelihatan lebih luas dan elegan.

Pada masa sama, kepekaan terhadap posisi pancaran matahari juga penting dalam memilih fabrik langsir sesuai untuk tingkap atau jendela kediaman anda.

“Gunakan fabrik tebal seperti ‘black-out’ supaya pancaran matahari atau bahangnya tidak mengganggu keselesaan terutama ruang tamu dan bilik tidur utama.

“Tingkap yang terkena pancaran terus cahaya matahari sesuai perlu dilindungi fabrik jenis ‘black-out’ supaya tidak mudah pudar atau kekuningan,” kata Elyza.

Jika anda masih buntu atau tercari-cari konsep suai padan sesuai dengan dekorasi kediaman anda sepena Aidilfitri ini, lapangkan waktu mengunjungi ruang pameran atau kedai hiasan dalaman.

Dari situ ia membuahkan idea menarik dan sekurang-kurangnya anda mendapat gambaran lebih jelas berkenaan jenis fabrik sesuai sebagai pilihan paling tepat.

Menariknya, Elyza’s Home turut menawarkan koleksi rangkaian moden klasik, kertas dinding dan rangkaian fabrik langsir yang mudah disuai padan.

Kunjungi ruang pameran Elyza’s Home yang terletak di No 7 & 8 Jln KPB 18 Balakong Industrial Park, Seri Kembangan, Balakong atau Facebook Elyza’s Home Official atau www.elyza.com untuk keterangan lanjut.

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 8:30am
d