dekotaman

Usah 'semakkan' ruang tamu

Salam deko buat semua. Nampaknya kita sudah berada di ambang Aidilfitri. Pasti ramai dalam kalangan kita sudah selesai melakukan persiapan untuk menyambut Syawal yang mulia ini. Saya juga pasti ramai pembaca setia ruangan Inspirasi Deko pada minggu ini berada di kampung halaman masing-masing. Maklumlah ramai dari kalangan warga kota yang meninggalkan kota metropolitan ini sejak beberapa hari lalu untuk pulang meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa dan sanak saudara.

Namun masih ada yang memilih untuk mengemas rumah terlebih dulu sebelum berangkat pulang. Ia sebagai persediaan menyambut kehadiran tetamu selepas kembali ke kota kelak. Bagi anda yang mendiami rumah bersaiz kecil atau sederhana, di sini saya kongsikan beberapa panduan menarik. Jika terlalu banyak perabot di ruang tamu, seelok-eloknya pilih yang sederhana dan minimalis atau paling penting saja. Selebihnya boleh disimpan buat sementara.

Jangan semakkan dan padatkan ruang tamu anda dengan terlalu banyak perabot kerana kehadiran tetamu yang ramai memerlukan ruang yang lebih luas dan selesa. Ruang tamu yang kecil juga dapat dilengkapkan dengan aksesori hiasan comel. Tidak perlu berlebihan dan meletakkan hiasan yang besar contohnya pasu seramik besar di atas lantai untuk sesuatu ruang. Gubahan yang sarat juga tidak sesuai menjadi hiasan pada ruang tamu yang kecil. Memadai pokok hiasan renek sebagai pelengkap dekorasi anda.

Memiliki ruang tamu kecil mewajibkan anda untuk berusaha menciptakan ilusi luas. Pilihlah warna yang lembut atau terang untuk menciptakan efek visual lebih luas. Warna terang tidak semestinya menggunakan warna putih. Anda dapat menggunakan kuning, hijau terang, krim atau warna lain tapi pastikan semua warna itu dalam koleksi warna pastel. Pastikan kombinasi warna yang digunakan untuk ruang tamu kecil tidak terlalu banyak supaya tidak kelihatan padat dan berserabot.

Akhir sekali pastikan anda menambah sumber cahaya pada ruang tamu itu atau tukarkan saja mentol malap kepada mentol yang lebih terang. Ini kerana pencahayaan yang jelas mampu memberikan ilusi ruang kecil menjadi lebih luas. Di kesempatan ini, saya pereka dalaman Faizal Zain ingin mengucapkan Salam Aidilfitri, maaf zahir batin kepada semua khususnya kepada pembaca setia ruangan Inspirasi Deko.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 5:31am
d