dekotaman

Orkid kekal berseri sepanjang masa

Oleh Hartini Mohd Nawi

Muncul antara tanaman popular di dunia, karakter bunga orkid yang mempunyai aura tersendiri membuatkan ia sentiasa menjadi pilihan sama ada menghiasi taman atau ruang kediaman.

Kini di setiap kediaman, sekurang-kurangnya terdapat satu pasu orkid kerana berupaya membuatkan taman kekal menarik saban waktu.

Tidak dinafikan, keindahan bunganya juga meletakkan ia sebagai elemen utama dalam gubahan segar di atas meja untuk meraikan tetamu.

Menurut Penolong Pengarah Seksyen Florikultur, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang Muhamad Adli Salihin Samsudin tidak sukar menanam atau menjadikan gubahan bunga segar ini kekal berseri sepanjang masa.

“Memadai dengan memahami keperluan hidup tanaman ini termasuk teknik dan cara penjagaannya.

“Pembajaan dan penyiraman adalah keperluan utama untuk kebanyakan jenis orkid, namun hidup dalam keadaan yang pelbagai.

“Begitu juga dengan cara penanaman yang nyata berbeza mengikut jenis orkid, jadi anda perlu mengenali tanaman ini terlebih dulu sebelum menanamnya,” katanya.

Beliau yang kini melanjutkan pengajian peringkat sarjana seni bina landskap di Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, anda sebagai pencinta dunia landskap terutama orkid pasti sedia maklum teknik penjagaan tanaman ini.

“Bagaimanapun, kenali sepenuhnya spesies orkid yang anda pilih itu kerana ketelitian dan kepekaan penting supaya kesuburannya kekal bertahan.

“Tidak hanya menarik dan subur saat baru dibeli, namun sebaik pulang dan menanamnya di taman, perkembangan orkid anda mula merosot,” katanya yang menceburi dunia landskap kira-kira 20 tahun lalu.

Sementara itu, arang biasanya digunakan untuk orkid memanjat atau dikenali sebagai orkid epifit dan boleh juga digabungkan dengan batu-bata.

Serpihan arang dan batu bata adalah perlu kerana kebanyakkan orkid memerlukan elemen ini.

Seterusnya serbuk kayu diperlukan orkid yang ditanam di dalam pasu dan jenis yang memanjat.

Pada masa sama pecahan arang dan batu-bata biasanya diletakkan bersama serbuk kayu.

Batang paku pakis gajah juga digunakan untuk tanaman orkid yang digantung.

Ia mampu menyimpan air di dalam jangka masa yang lama dan membantu orkid untuk terus hidup.

Penjagaan orkid di taman sempena Aidilfitri

Sempena Aidilfitri ini, sudah tentu anda berada di kampung halaman dan meninggalkan seketika kediaman.

Bermakna sepanjang tempoh itu orkid tidak disiram dan diselenggara seperti biasa.

“Tidak perlu risau kerana anda boleh cuba beberapa alternatif supaya orkid tetap terjaga biar pun anda pulang berhari raya di kampung.

“Penjagaan yang sangat ‘berdisiplin’ ini membantu orkid di taman kediaman kekal menarik atau tidak layu sepanjang peninggalan anda sekeluarga,” kata Muhamad Adli Salihin.

Muhamad Adli Salihin berkata seelok-eloknya pagi, petang atau malam sebelum anda meninggalkan kediaman lakukan penyiraman.

“Letakkan juga sungkupan sabut kelapa dan sekam padi kerana ia mampu menyimpan air.

“Alternatif lain, tebuk botol air minuman kosong menggunakan pasu kecil, kemudian isi air di dalamnya hingga penuh.

“Biasanya botol dengan isipadu air kira-kira 1.5 liter mampu membekalkan penyiraman orkid untuk beberapa hari.

“Titisan itu mampu membuatkan orkid di taman menerima air secukupnya sepanjang ketiadaan anda,” kata Muhamad Adli Salihin.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 5:38am
d