dekotaman

Perkenal produk, kongsi pengetahuan

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Pameran Antarabangsa Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Ke-18 (ARCHIDEX 2017) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memiliki tarikan tersendiri.

Acara terkemuka di Asia Tenggara itu membabitkan industri seni bina dan reka bentuk dalaman serta bangunan yang menampilkan trend terkini.

ARCHIDEX 2017 yang berlangsung sepanjang empat hari dan berakhir hari ini menampilkan pempamer dari seluruh negara dan antarabangsa seperti Australia, Austria, China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura, Switzerland, Taiwan, Thailand, United Kingdom, Vietnam serta Hong Kong.

Malah pameran berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai pihak termasuk industri profesional, dijangka berkunjung dan melihat pelbagai penyelesaian inovatif dalam bidang berkenaan.

Seterusnya pengilang sanitari terbesar dunia Roca sekali lagi mengambil bahagian dalam pameran berkenaan.

Menjadi rakan kongsi utama ARCHIDEX pada tahun ini, Roca mempunyai tapak gerai dan pameran terbesar iaitu 28 gerai dalam reka bentuk dua tingkat.

Pengunjung dapat melihat produk terkini di tingkat bawah dan menikmati hidangan ringan di bilik tetamu yang terletak di dek atas.

Pengarah Urusan Roca Malaysia dan Singapura Joseph Delicado berkata, pameran kali ini menampilkan kelainan bagi memberi pengalaman baru kepada pengunjung.

“Kami menampilkan konsep baru iaitu Roca Mall, pusat beli-belah moden yang menyatukan sejarah, masa kini dan masa depan jenama menerusi kepelbagaian produk serta koleksi berbeza,” katanya.

Katanya, Roca menyokong penganjuran ARCHIDEX yang dilihat sebagai medium terbaik memperkenalkan produk selain dapat berkongsi pengetahuan.

“ARCHIDEX adalah platform yang sangat baik buat Roca untuk mempamerkan dan memperkenalkan produk baharu dan terkini kepada golongan profesional di dalam industri selain dapat bertemu dan bergaul dengan profesional industri dari Asia Tenggara.

“Kami berpeluang bekerjasama dengan penganjur acara perdagangan industri mantap dan terkemuka yang berkongsi konsep sama dalam membangunkan jenama bersama-sama,” katanya.

Turut hadir merasmikan pameran dan produk baru Roca adalah wakil Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, penganjur bersama ARCHIDEX 2017 dan Presiden CIS Network Sdn Bhd Datuk Vincent Lim, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Ezumi Harzani Ismail.

Majlis perasmian itu turut menyaksikan perkongsian Joseph yang memperkenalkan produk terbaru Roca kepada tetamu dan rakan media yang hadir.

Sempena ulang tahun ke-100, Roca turut mengetengahkah produk tercanggih dan terkini hasil sentuhan penuh inovasi dan kreativiti.

Salah satu produk yang mencuri tumpuan adalah Koleksi Roca/Armani iaitu Baia yang mendapat sentuhan pereka terkemuka Giorgio Armani.

Rekaan eksklusif yang meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan itu diinspirasi daripada visi terhadap persekitaran bilik mandi melalui kombinasi elemen fleksibiliti dan kesesuaian maksimum.

Roca turut mengetengahlan rangkaian baru Beyond iaitu reka bentuk urban dengan penyelesaian sofistikated untuk rekaan sinki daripada bahan inovasi Roca iaitu ‘fineceramic’ dan teknologi terkini dalam rekaan produk bilik mandi.

Produk terkini ‘In-Wash Smart Toilet’ dan koleksi Inspira turut diketengahkan.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 9:55am
d