dekotaman

Menarik, tidak jemu dipandang, tersendiri

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Suasana menghijau sekitar kediaman atau di tempat kerja mampu mewujudkan keadaan yang tenang dan mendamaikan.

Namun, susun atur dan pemilihan teliti dalam mewujudkan landskap menarik memainkan peranan dalam mempengaruhi reka bentuknya.

Konsep lapisan atau ‘layering’ antara yang memerlukan perancangan rapi supaya dapat memberi impak selain mencipta suasana menarik.

Pengarah Urusan dan Pakar Landskap Enrich Focus Sdn Bhd Maznah Ariffin berkata, proses lapisan mampu mewujudkan landskap yang menarik, tidak jemu dipandang dan tersendiri.

“Landskap dengan konsep lapisan ternyata memberi sentuhan berbeza kerana ia mengikut cita rasa dan pilihan diinginkan.

“Ia adalah gabungan pilihan tanaman kegemaran ‘diadun’ mengikut kesukaan anda,” katanya.

Menurut Maznah, salah satu elemen perlu diambil kira sebelum mula menghasilkan landskap lapisan adalah masa yang dapat diperuntukkan dalam mengendalikan landskap.

“Penting untuk ambil kira masa yang dapat diperuntukkan kerana sekiranya kurang kelapangan, sebaik-baiknya pilih pokok tahan lasak.

“Selain itu, ambil kira tanah atau kawasan untuk membina landskap sama ada di tempat teduh atau terdedah dengan pancaran terus cahaya matahari.

“Sekiranya kawasan agak panas dan terdedah cahaya matahari, selitkan pokok tahan lasak serta dapat menahan pancaran terus cuaca matahari,” katanya.

Pemilihan pokok yang tepat mengikut peruntukan masa dan kawasan bersesuaian penting bagi memastikan landskap diketengahkan terhasil dengan sempurna.

Lakukan kajian, rujukan atau mendapatkan maklumat daripada nurseri terlebih dulu untuk memastikan kesesuaian tanaman landskap lapisan yang anda inginkan.

Selepas itu, susun atur secara mendatar dan menegak perlu dititikberatkan supaya tanaman yang digabungkan nampak seimbang.

Maznah berkata, warna, saiz dan tekstur antara elemen penting dalam susun atur.

“Pertama boleh lihat warna pokok. Kebiasaannya pokok tahan lasak adalah jenis berdaun dan rata-ratanya hijau.

“Namun, pilih tona warna yang berbeza supaya ia kontra dan serasi apabila disusun bersama,” katanya.

Selain itu, saiz pokok dan daun juga perlu teliti supaya landskap tidak nampak serabut serta menghalang titik tumpu.

“Pokok yang paling tinggi tempatnya adalah di bahagian belakang seperti heliconia atau sepit udang yang mudah tumbuh tinggi. Sementara pokok paling rendah atau renek letak di bahagian depan seperti duranta.

“Susunan yang mengikut ketinggian begini mewujudkan landskap yang teratur selain mengelak pokok rendah dihalang pokok tinggi hingga membuatkan landskap nampak pelik.

“Saiz dan bentuk daun juga memainkan peranan dalam proses menghasilkan landskap lapisan supaya ia tidak kelihatan seragam atau menampilkan kesan tunggal,” katanya.

Pastikan pelbagai saiz dan bentuk daun digabungkan bersama untuk variasi berbeza. Contohnya, daun lebar diletakkan di bahagian belakang sementara daun runcing di bahagian tengah dan daun kecil pula di bahagian hadapan.

“Lihat juga permukaan daun dan bunga yang kita selitkan dalam landskap ini supaya dapat hasilkan tekstur yang berbeza. Selain itu, tengok corak urat daun bagi menampilkan taman hijau yang sarat nilai seninya,” katanya.

Beberapa aksesori tanaman lain juga sesuai diselitkan seperti batuan dan air pancuran bagi menambah nilai pada landskap berkenaan.

“Boleh juga selitkan air pancuran untuk tambahan elemen air namun, pastikan tanaman yang dipilih sesuai dan tahan lasak serta lebih selesa dengan habitat air seperti pokok money plant serta pokok keladi.

“Pokok bunga biasanya tidak sesuai diletak berdekatan dengan air. Namun, boleh selitkan pokok bunga iris kerana habitat dan sifatnya lebih cenderung pada air,” katanya.

Di samping itu, pilih pokok yang sesuai untuk pagaran sekiranya landskap lapisan ingin diwujudkan sekitar pagar rumah anda.

Pokok jejarum, pokok palma seperti raphis, pokok pisang calathea antara yang sesuai sebagai pokok pagaran.

Bagi yang kurang kelapangan masa, dalam penjagaan landskap, pilih pokok ‘hardy’ iaitu lebih bersifat tahan lasak supaya ia tahan lebih lama tanpa perlu perhatian yang rapi.

Sebarang maklumat lanjut kunjungi nurseri Enrich Focus di Jalan Hulu Langat, Kampung Tasek Permai, Ampang, Selangor atau layari Facebook homegarden2landscaping atau Maznah Ariffin.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 10:05am
d