dekotaman

Penyeri laman, ruang kediaman

Oleh Susunan Hartini Mohd Nawi

Saban tahun sepanjang Jun, Julai dan Ogos beberapa jenis bunga segar musim panas di negara empat musim dilihat sesuai dalam menyerikan laman dan ruang kediaman.

Jika berlaku musim panas di hemisfera utara, ketika itulah berlakunya musim sejuk di hemisfera selatan dan sebaliknya.

Menurut pakar meteorologi, musim panas berlarutan dari Jun, Julai dan Ogos di hemisfera utara, sementara di hemisfera selatan pula membabitkan Disember, Januari serta Februari.

Bunga lily

Nama saintifiknya lilium candidum L terkenal sejak zaman Yunani kuno.

Lili atau lilium dikatakan berasal daripada perkataan Yunani iaitu leirion.

Bunga berkenaan antara tanaman berbunga yang tumbuh daripada umbi dan terdapat kira-kira 100 jenis.

Ia mempunyai karakter dan warna lembut serta memiliki keharuman yang unik.

Malah ia antara bunga yang hidup merimbun dan setiap kuntuman mempunyai enam kelopak cukup besar, wangi serta memiliki ragam warna mulai daripada putih, kuning, jingga, merah muda, merah selain ungu.

Antara kelebihan bunga berkenaan adalah mampu hidup dan haruman lebih lama serta memiliki haruman berbanding bunga lain.

Bunga ini memerlukan air secukupnya supaya tidak kekeringan.

Bagi mengelak persekitaran kering, elak meletakkan bunga lili di tempat terdedah terus cahaya matahari.

Gerbera daisy

Gerbera adalah genus tumbuhan hiasan daripada keluarga bunga matahari (asteraceae). Sekuntum bunganya terdiri daripada banyak kuntuman kecil.

Berbunga sepanjang tahun dan mudah membiak. Ia dinamakan bagi memberi penghormatan kepada ahli botani Jerman dan naturalis Traugott Gerber (1743) yang mengembara secara meluas di Russia.

Ada kira-kira 30 spesies tumbuhan itu. Ia juga mempunyai beberapa nama lain, antaranya spanish daisy, blue daisy, lazy daisy atau prairie daisy, African daisy dan gerbera daisy.

Lebih membanggakan apabila tanaman ini tersenarai dalam bunga kelima paling banyak digunakan sebagai ‘cut flower’ selepas mawar, bunga carnation, chrysanthemum dan tulip.

Bentuk bunganya sederhana dan menyamai matahari membuatkan ia turut dikenali sebagai bunga matahari.

Kelopaknya mekar ketika matahari terbit dan menguncup apabila terbenam.

Selain membiarkan kuntuman daisy mekar di dalam pasu atau di halaman, ia juga boleh dijadikan bunga keratan untuk menghiasi sudut ruang tamu.

Lavender

Tanaman ini turut dikenali sebagai bunga tiga bulan dan dikatakan berasal dari pergunungan Alps, Switzerland.

Nyamuk tidak menyukai tanaman ini terutama aroma bunganya. Lavender mempunyai zat linalool dan lynalyl acetate.

Kedua-dua zat ini boleh diperoleh daripada proses penyulingan selain menjadi bahan antinyamuk.

Agapanthus

Perkataan agapanthus dikatakan berasal dari Yunani yang bermaksud bunga cinta.

Kebanyakan bunga ini ditemui dalam warna biru dan putih.

Kelopak bunganya yang halus, mampu mencipta titik fokal pada ruang terutama meja makan.

Bunga ini turut dikenali sebagai ‘Lily of the Nile’ atau African Lily.

Ia tahan cuaca panas dan kemarau serta tidak perlu kerap disiram bagi mengelak permukaan pasunya ditakungi air.

Delphinium

Turut dikenali sebagai bunga larkspur dan dolpin.

Ciri-cirinya bunganya adalah tinggi dalam pelbagai warna termasuk ungu, biru, merah dan kuning.

Ia memerlukan cahaya matahari secukupnya.

Hydrangea

Hydrangea yang juga popular sebagai bunga Siti Zubaidah ini di Malaysia dan ditanam secara meluas di negara beriklim sederhana sejak 150 tahun lalu.

Dikatakan juga bunganya yang mampu bertahan selama tiga bulan sebelum gugur menyebabkan ia turut dikenali sebagai bunga tiga bulan.

Apatah lagi nama hydrangea itu dikatakan berasal dari perkataan Yunani.

Bagi negara empat musim, bunga ini berkembang pada awal musim bunga hingga lewat musim luruh.

Banyak pendapat yang mengatakan bunga ini berasal dari Jepun dan berbentuk renek ketika tibanya musim panas.

Di Korea pula, hydrangea serrata digunakan untuk membuat teh herba yang dikenali sebagai sugukcha atau ilsulcha.

Selain itu, bunga gladiolus, liatris, lisianthus, pincushion, snapdragons dan yarrow antara bunga lain yang turut menyerikan musim panas.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 8:11am
d