dekotaman

Pengaruhi iklim dunia

Oleh Susunan Hartini Mohd Nawi

Botani adalah kajian saintifik untuk hidupan tumbuhan. Sebagai salah satu cabang biologi, botani kadang kala dirujuk sebagai sains atau biologi tumbuhan.

Malah, ia merangkumi pelbagai disiplin saintifik yang mengkaji struktur, pertumbuhan, pembiakan, metabolisme, perkembangan, penyakit, ekologi dan evolusi tumbuhan.

Pada setiap peringkat itu, seseorang ahli atau pakar botani mungkin membabitkan diri dalam pengelasan (taksonomi), struktur (anatomi), atau fungsi (fisiologi) kehidupan tumbuhan.

Bagaimanapun, bukan semua tumbuhan berfaedah kepada manusia.

Sebilangan rumpai menimbulkan masalah besar dalam pertanian dan botani membekalkan sebahagian pengetahuan sains asas untuk memahami bagaimana mengurangkan kesannya.

Namun, ada juga rumpai menjadi tumbuhan perintis antara lain memulihkan alam sekitar yang disalah guna.

Pada masa sama tumbuhan juga membekalkan kita dengan pelbagai bahan semula jadi seperti kapas, kayu, kertas, kain linen, minyak sayuran, getah, dan sebilangan jenis tali.

Pengeluaran sutera tidak mungkin terjadi jika tiada pokok mulberi.

Pokok tebu dan tumbuhan lain turut digunakan sebagai sumber biobahan api yang menjadi alternatif untuk bahan api fosil.

Tumbuhan juga boleh membantu kita memahami perubahan alam sekitar menerusi pelbagai cara.

Pemahaman pemusnahan habitat dan pemupusan spesies bergantung kepada katalog yang tepat, lengkap untuk sistematik dan taksonomi tumbuhan.

Tindak balas tumbuhan terhadap sinaran ultra ungu boleh membantu dalam pengawasan masalah seperti kesusutan ozon.

Penganalisisan debunga yang dihasilkan tumbuhan pada ribuan atau jutaan tahun dahulu juga boleh membantu ahli sains dalam pembinaan semula iklim dahulu dan peramalan iklim masa hadapan.

Ini antara sebahagian yang penting dalam penyelidikan perubahan iklim.

Malah, tumbuhan bertindak sebagai ‘sistem amaran awal’ untuk menyedarkan kita terhadap perubahan yang penting dalam alam sekitar.

Selain daripada alasan praktik dan saintifik itu, tumbuhan jugat sangat bernilai sebagai rekreasi harian untuk berjuta-juta orang yang gemar berkebun, hortikultur dan memasak.

Antara karya terawal, terdapat dua karangan panjang yang ditulis di sekitar 300 SM oleh Theophrastus: Tentang Sejarah Tumbuhan (Historia Plantarum) serta Tentang Sebab-sebab Tumbuhan.

Kedua-dua buku itu sumbangan sains botani yang terpenting sejak purbakala hingga Zaman Pertengahan.

Sementara itu, Dioscorides, seorang penulis perubatan Rom memberikan bukti-bukti yang penting berkenaan pengetahuan Yunani dan Rom terhadap tumbuhan perubatan.

Menerusi penggunaan mikroskop awal, Robert Hooke menemui sel dalam gabus pada tahun 1665 dan tidak lama kemudian, dalam tisu tumbuhan hidup.

Leonhart Fuchs dari Jerman, Conrad von Gesner dari Switzerland serta Nicholas Culpeper dan John Gerard dari United Kingdom menerbitkan karya berkenaan tumbuhan herba yang memberikan maklumat mengenai kegunaan perubatan tumbuhan.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 10:33am
d